KOTA BHARU - Lebih 50 pemilik tanah dan petani yang melibatkan Kampung Tiong Dalam, Pulau Tebu dan Kubang Kacang terjejas berikutan sebuah projek yang dibangunkan di kawasan penempatan mereka.

Penduduk di kawasan itu tidak menolak pembangunan sebaliknya ingin penjelasan mengenai kawasan tanah yang diambil.

Petani yang terlibat, Fauzi Jusoh, 53, berkata, untuk tujuan pembinaan projek di kawasan itu, pihak kontraktor mengambil sebahagian tanah sawah milik penduduk untuk digunakan sebagai laluan sementara berbatu sejauh dua kilometer.

Menurutnya, pengambilan tanah itu berlaku pada Januari lalu dan kebanyakan pesawah resah apabila  mengalami kerugian.

“Saya kerugian RM2,000 selepas lebih dua hektar tanaman padi dari 12.14 hektar terjejas.

“Perkara ini menjadi lebih rumit apabila tidak ada pampasan diberi akan kerosakan pada petak sawah padi selain tidak ada rundingan yang dilakukan oleh pihak kontraktor yang menjalankan projek ini,” katanya.

Mohd Zamri Hussin, 52, berkata, sebanyak 0.6 hektar daripada 1.21 hektar tanah padi yang disewa dan diusahakan terjejas selepas laluan sementara itu dibuka untuk kenderaan berat keluar masuk di kawasan itu.

Menurut Mohd Zamri, dia mula menabur benih padi pada awal bulan lalu, namun tidak menyangka pihak kontraktor membina laluan sementara sehingga merosakkan anak-anak padi yang baru tumbuh.

“Ekoran itu, saya mengalami kerugian RM700 kerana petak sawah kekeringan dan banyak benih padi yang mati.

“Kami di sini menjangkakan kerugian yang ditanggung petani akan lebih besar sekiranya masalah ini tidak diatasi dengan segera kerana jalan sementara sudah menghalang laluan saliran air ke sebahagian kawasan tanaman padi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Mukim Tunjong, Azami Awang berkata, dia yang mewakili penduduk berharap pihak yang berkenaan tampil memberi penjelasan.

“Difahamkan wakil daripada pejabat tanah tidak pernah berurusan dengan penduduk mengenai hal berkaitan pengambilan tanah dan hanya kontraktor sahaja yang datang dan meminta penduduk menandatangani surat perjanjian dan ada sebahagiannya tidak menurunkan tandatangan kerana tidak bersetuju.

“Jika benar ada pihak yang ingin mengambil tanah ini, kami memerlukan perjanjian hitam putih mengenai apa perancangan dan juga projek yang dijalankan dan bukan niat kami untuk menghalang namun ingin penjelasan ekoran ia dijalankan atas tanah kami,” katanya.