MACHANG -  Isu kelapa kurang atau terputus bekalan bukanlah asing, namun kini sebaliknya berlaku apabila kelapa mudah didapati tetapi permintaan santan kurang memberangsangkan.

Rata-rata peniaga santan menyifatkan Ramadan ini waktu untuk mereka berehat dan menambah amal ibadat apabila perniagaan yang diusahakan kurang mendapat sambutan berbanding bulan-bulan biasa.

"Orang ramai tak ada duit, mereka semua berjimat dan jarang beli lauk-pauk dan kuih-muih di kedai. Kalau sebelum ini, kami bergantung kepada permintaan daripada kedai-kedai makan namun pada bulan Ramadan, mereka tutup.

"Peniaga bazar Ramadan juga mengehadkan kuantiti barangan jualan mereka bagi mengelakkan kerugian. Kalau tahun lepas, mereka biasa tempah lapan kilogram santan tapi tahun ini mereka hanya ambil empat kilogram," kata peniaga santan, Halimah Mat Daud, 59.

Halimah berkata, harga santan kekal seperti sebelum Ramadan iaitu RM11 bagi sekilogram dan harga kelapa yang ditawarkan pembekal juga masih sama sekitar RM1.90 hingga RM2 sebiji.

Tambahnya, faktor ekonomi dan kos sara hidup yang tinggi memaksa orang ramai berjimat cermat sekali gus mengurangkan kuasa beli pengguna.