KOTA BHARU - Sebelum diusir dari Syurga kerana keengganannya menuruti perintah ALLAH SWT supaya tunduk hormat kepada Nabi Adam as, Iblis bersumpah untuk menyesatkan manusia.

Sejak itu, iblis berjanji akan menggoda manusia dengan apa cara sekalipun termasuklah menyematkan perasaan ragu yang dipanggil penyakit was-was ke dalam hati hamba Nya.

Melalui was-was inilah, syaitan mudah menggoda seseorang Muslim untuk mengulangi ibadahnya sehingga berpuluh-puluh kali. Itu yang terjadi kepada seorang remaja berusia 17 tahun dari Pengkalan Chepa, di sini.

Remaja ini menghabiskan masa paling kurang setengah jam untuk buang air kecil dan paling lama tiga jam berada di dalam bilik air untuk mandi.

“Mula-mula saya akan jirus air pada bahagian kaki selama sejam dan kemudian baru siram ke bahagian kepala. Sabun pula, saya akan picit sabun dan hanya satu sahaja jenama yang saya rasa suci untuk badan saya.

“Saya tidak mahu guna sabun jenama lain kerana ia tidak membersihkan kotoran pada badan saya,” katanya ketika ditemui pada Program Gabungan Rawatan Moden dan Perubatan Islam di Sinar Harian, di sini, semalam.

Menurutnya, penyakit yang dialaminya itu bermula ketika berusia 15 tahun dan sejak itu sukar untuk tidur malam.  

“Kadang-kadang dah siap mandi pun masih rasa kotor dan akan masuk bilik air untuk mandi semula.

“Kalau ambil wuduk pun lebih dari tiga kali sebab saya rasa air yang mengalir tidak rata. Kalau solat saya perlu angkat takbir dua atau berulang kali bagi memastikan solat saya sempurna,” katanya.

Penyakit was-was yang dihidapi remaja itu sedikit sebanyak memberi tekanan kepada ibunya yang berusia 48 tahun.

Kata suri rumah itu, penyakit anaknya itu beri beban apabila anaknya terlewat menunaikan solat Subuh dan ke sekolah.

“Dulu dia pergi sekolah jam 8 atau 9 pagi sebab berulang kali basuh muka. Saya akan tunggu dia sebab kalau ditegah pun dia tetap hendak ulang basuh juga, jadi bagi dia basuh baru dapat pergi sekolah,” katanya.

Beliau berkata, kerana penyakit anaknya itu juga bil air di rumahnya melambung setiap bulan dan jadual seharian mereka jadi tidak menentu apabila masa lebih banyak dihabiskan di dalam bilik air.

“Saya pernah nampak dia termenung lama di dalam bilik air dengan air yang dialirkan pada kakinya.

“Dia seolah-olah sedang mengelamun dan kalau saya ketuk pintu dia pasti terkejut dan menyambung mandi tetapi tetap lama dan membasuh bahagian sama berulang-ulang kali,” katanya.

Menjelaskan perkara itu, Pengasas Pusat Rawatan Islam At-Tobibi, Datuk Shamsuri Shafie berkata, penyakit was-was yang membelenggu remaja itu adalah perbuatan jin yang berbisik-bisik ke dalam hatinya menyebabkan emosinya menjadi ragu-ragu.

“Ada pesakit yang berjumpa dengan saya kerana mengalami penyakit ini masuk ke dalam bilik air untuk mandi pada waktu Subuh dan hanya keluar pada waktu Zuhur.

“Dia mandi tetapi berasa was-was dan merasakan mandinya itu tidak bersih,” katanya.

Beliau berkata, pesakit waswas menyedari mereka mengulangi perbuatan mereka itu, namun mereka tidak mampu untuk melawan bisikan jin kerana hilang keyakinan diri.

“Penyakit ini juga boleh berjangkit dengan orang sekeliling dan hanya mampu disembuhkan dengan amalan ayat-ayat al-Quran.

“Semua manusia ada penyakit was-was, namun yang membezakannya adalah dalam skala kecil terkawal atau yang besar dan tidak dapat dikawal.

Bagi menyembuhkan dan mengelak daripadanya pesakit boleh mengamalkan ayat Quran antaranya Al-Fatihah, Ayat Kursi, Al-Baqarah (1-5) dan pelbagai lagi,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DUNGUN - Sejak tiga hari lalu tular mengenai kehidupan pesakit kencing manis dari Kampung Paya, Balai Besar yang bergelap sejak dua tahun lalu kerana ketiadaan bekalan elektrik di kediamannya.
  • NILAI - Amalan pemakanan sihat dan seimbang perlu dipupuk sejak kecil bagi mengurangkan risiko penyakit berbahaya khususnya penyakit tiga serangkai iaitu darah tinggi, buah pinggang dan kencing manis.