KOTA BHARU - Penjara Pengkalan Chepa kini dihuni 2,998 banduan yang sedang menjalani hukuman walaupun kapasitinya hanya untuk 1,500 orang.

Pengarah Penjara Kelantan, Timbalan Komisioner Penjara Hamzani Che Ibrahim berkata, peningkatan jumlah penghuni sehingga 100 peratus itu menyebabkan kesesakan dan tahap keselamatan terganggu.

“Di Malaysia, Penjara Pengkalan Chepa adalah penjara yang mempunyai banduan teramai. Maka untuk itu, kita perlu tambah baik lagi kapasiti sedia ada.

“Untuk tujuan tersebut, kita telah pun buat permohonan untuk membina pagar ‘anti climb’ dan kamera litar tertutup (CCTV) bagi membantu tahap keselamatan dalam penjara,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang media Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Penjara Pengkalan Chepa di sini.

Dalam majlis tersebut, Penolong Komisioner Penjara Mat Yakob dilantik Pengarah Penjara Pengkalan Chepa menggantikan Penolong Kanan Komisioner Kamarul Alam Taib.

Hamzani berkata, bagi membantu mengurangkan masalah kesesakan di penjara tersebut, pihaknya telah melaksanakan beberapa program melibatkan sistem parol dan pusat kehadiran wajib (PKW).

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, Penjara Pengkalan Chepa turut menjadi model melaksanakan Peraturan Bangkok dalam memberi layanan kepada banduan wanita.

“Sebelum ini kita gunakan ‘Mandela Rules’ tapi di sini kita gunakan model Peraturan Bangkok untuk memberi layanan dengan mengambil kira hak asasi wanita di penjara,” katanya.