KOTA BHARU - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan mengeluarkan arahan pertukaran serta-merta terhadap pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Ketereh, hari ini.

Pengarah JPN Kelantan, Muhammad Zahari Othman berkata, pengetua berkenaan ditukar bertugas ke bahagian pentadbiran sebagai pegawai kanan perkhidmatan pendidikan di Sektor Jaminan Kualiti di JPN Kelantan.

Menurutnya, arahan pertukaran itu dikeluarkan melalui satu surat bertarikh 18 Julai 2018.

“Arahan tukar tempat bertugas ini dikeluarkan untuk memberikan ruang kepada beliau berehat dan bertenang ketika menerima tekanan ini.

“Pada masa sama, bagi meredakan keadaan dan memberi ruang kepada JPN untuk menjalankan siasatan ke atas segala dakwaan yang dibuat terhadap beliau,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, arahan pertukaran itu berkuat kuasa hari ini, namun sehingga tengah hari tadi pengetua terbabit masih belum melaporkan diri.

“JPN akan terus siasat perkara ini dan buat masa ini tugas dan tanggungjawab pengetua sekolah berkenaan berada di bawah Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sabri Awang,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Demo minta tukar pengetua]