KUALA KRAI - Seorang kakitangan Hospital Kuala Krai mengabdikan majlis perkahwinannya dengan menaiki ambulans ke rumah pengantin perempuan, semalam.

Mohd Shahrudin Abu Bakar, 32, menaiki ambulans dipandu rakan setugas dari tempat berkumpul rombongan pengantin lelaki di Damar In hingga ke rumah pengantin perempuan di Padang Sembilan.

Menariknya, siren ambulans dibunyikan ketika pengantin lelaki hampir tiba menyebabkan tetamu jemputan tertanya-tanya.

Mohd Shahrudin yang berasal dari Pasir Mas berkata, dia dan isteri, Rosliana Rosli, 34, tidak pernah merancang mencipta kelainan pada hari perkahwinan mereka sebaliknya hanya mengharapkan majlis berjalan lancar.

Menurutnya, perancangan menaiki ambulans ke rumah pengantin perempuan dibuat sehari sebelum hari persandingan.

"Cadangan ini pula datangnya daripada Pengarah Hospital Kuala Krai, Dr Mohd Salleh Mat Jusoh.

"Selepas berfikir saya bersetuju dengan cadangan tersebut," katanya  kepada Sinar Harian.

Mohd Shahrudin yang bertugas sebagai pemandu ambulans berkata, walaupun sudah menjadi rutinnya memandu kenderaan itu, tetapi kali ini agak berbeza kerana dia menaiki ambulans di hari bahagianya.

"Terima kasih kepada Dr Mat (Mohd Salleh) atas cadangan ini.

"Pengalaman menaiki ambulans pada hari bahagia akan jadi sejarah dalam hidup saya," katanya yang turut diiringi beberapa rakan setugas menaiki ambulans.

Sementara itu, Dr Mohd Salleh berkata, dia memberikan cadangan itu sebagai hadiah perkahwinan kepada Mohd Shahrudin dan isteri yang kedua-duanya bertugas di Hospital Kuala Krai.

Beliau berharap detik indah tersebut akan dikenang pasangan itu sampai bila-bila.

"Saya mendoakan kebahagiaan pasangan pengantin dan berharap mereka cepat menimang cahaya mata," katanya yang turut mengiringi pengantin lelaki.