KOTA BHARU - Seorang penganggur didenda RM11,000 di mahkamah majistret, di sini, semalam atas lima pertuduhan memiliki pelbagai dadah berbahaya dan ubat batuk.

Majistret, Nik Habri Muhamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhamad Rohaizad Rahim, 30, selepas mengaku atas semua pertuduhan itu.

Pada tuduhan pertama dan kedua, Muhamad Rohaizad bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa ada dalam milikannya dadah jenis methamphetamine seberat 0.46 gram dan nimetazeoam seberat 0.36 gram.

Pada tuduhan berikutnya, dia bersama seorang lagi yang masih bebas memiliki cecair berwarna perang sebanyak 4,300 mililiter mengandungi mitragynine dan diphenhydramine yang disenaraikan dalam jadual pertama dan ketiga bahan psikotrofik Akta Racun 1952.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di kawasan tapak pembinaan Kampung Tiong, di sini, pada jam 7.45 malam, 10 April lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 12 (3) Akta sama dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, boleh didenda  maksimum RM100,000 atau dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi tiga kesalahan memiliki ubat batuk pula, dia didakwa mengikut Seksyen 9 (1) Akta Racun 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 32 (2) Akta sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan tertuduh boleh didenda maksimum RM3,000 atau dipenjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Hamidah Mahmood.

Nik Habri menjatuhkan hukuman denda masing-masing RM3,000 bagi kesalahan pertama dan kedua.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat dia didenda masing-masing RM2,000 manakala kesalahan kelima dia didenda RM1,000.

Jumlah denda yang dikenakan ialah RM11,000.

Tertuduh bebas selepas menjelaskan denda itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.