PENGALAMAN melihat sendiri rakan seperjuangan menjadi mangsa kekejaman kuasa asing hingga ada yang terkorban antara pengalaman pahit terpaksa ditempuhi bekas tentera, Sarjan Mohamed Asari Che Deraman.

Bagaimanapun menurutnya, semua tragedi yang berlaku di hadapannya ketika itu membuatkan dia dan rakan- rakan lain lebih bersemangat untuk berjuang mempertahankan negara.

Katanya, kehidupan ketika itu yang begitu dahsyat, jauh berbeza dengan apa yang ada hari ini.

"Waktu itu masing- masing perlu kuat dan kental untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan, kerana kuasa memerintah bukan dipegang bangsa sendiri.

"Sebab itu bila ad rakan- rakan terkorban mahupun cedera, kami tak boleh patah semangat, malah kena lebih kuat. Bayangkan mereka sanggup korbankan nyawa untuk pertahankan negara, tak kan kita yang masih ada kudrat ingin menyerah sebelum berjuang" katanya kepada Sinar Harian mengimbau kisah menyayat hati sepanjang bergelar tentera.

Sarjan Asri menceritakan bagaimana peritnya kehidupan di zaman penjajah ketika bersiaran secara langsung di FB Live Sinar Harian Kelantan baru- baru ini.

Mohamed Asari yang lebih dikenali sebagai Sarjan Asri berkata, beliau masih ingat tragedi di mana pos yang menjadi pangkalan mereka ketika itu diserang komunis.

"Ketika itu pos kami yang berpangkalan di Batu 20 Lebuh Raya Timur Barat Jeli- Gerik diserang sekitar jam 7 petang.

"Alhamdulillah, kelengkapan kami cukup untuk tentang musuh habis- habisan hingga akhirnya mereka berundur, tapi dalam pertempuran itu salah seorang rakan kami terkorban," katanya.

Tambahnya, kejadian berlaku depan mata, adalah normal jika kami patah semangat, tapi sebenarnya ia lebih menguatkan.

"Masakan tidak, rakan yang sedang bertarung nyawa melaung- laungkan semangat agar kami teruskan perjuangan, serang, serang, serang..antara perkataan yang dilaungkan supaya kami terus bersemangat," katanya.

Penerima Pingat Jasa Malaysia ini berkata, beliau juga pernah menyaksikan rakan- rakan terputus kaki dan tangan angkara bom dari pihak musuh.

"Biasanya selepas pertempuran, kami diarah membuat 'clearance', melihat saki baki bahan- bahan letupan yang mungkin tertinggal ketika pertempuran dan bersih kawasan- kawasan terlibat.

"Pernah berlaku, ketika kerja pembersihan dilakukan ada bom- bom yang tertinggal meletup, walaupun kita ni dah habis berhati- hati ketika lakukannya, bila meletup ada pula anggota ketika itu, memang dahsyat, ada yang putus kaki, putus tangan angkara bom berkenaan," katanya.

Beliau yang juga penerima pingat Perkhidmatan Am berkata, jika dikenang semua tragedi berdarah itu, perasaannya bercampur baur antara sedih, bangga, takut dan gerun.

"Sedih, mengenangkan nasib rakan- rakan, bangga kerana berpeluang menjadi sebahagian pejuang negara, takut dan gerun bila mengingatkan kekejaman yang dilakukan musuh," katanya.

Dalam pada itu, Sarjan Asri berkata, walaupun berada di barisan pertahanan yang dilengkapi senjata dan sebagainya, namun perasaan takut tidak dapat disembunyikan kerana segalanya boleh berlaku tanpa mampu kita jangka.

"Saya sempat hidup pada zaman tiga kuasa asing iaitu Jepun, British dan Komunis kerana dilahirkan pada tahun 1941, tahun di mana Jepun mula menduduki Tanah Melayu," katanya.

"Tidak dinafikan etiga- tiganya mempunyai cara masing- masing. Jepun saya kira agak zalim pentadbirannya ketika itu kerana agak keras dan tegas. Bila orang putih (British) ambil alih, kehidupan lebih aman, banyak kemudahan disediakan termasuk dari segi pendidikan, pentadbirannya juga lebuh sistematik," katanya.

Tambahnya, walaupun British juga kuasa asing, namun cara pentadbirannya boleh kita terima berbanding dua kuasa asing lain, iaitu Jepun dan komunis. Hidup zaman komunis juga sangat perit kerana sentiasa dalam ketakutan, kita tak boleh jangka apa yang akan dilakukan," katanya.

Generasi muda perlu lebih menghargai

Sebagai generasi pelapis yang dilahirkan dalam suasana yang sudah aman, makmur dan maju, tidak salah jika dikatakan pentafsiran erti kemerdekaan itu tidak sedalam mereka yang berjuang untuk mendapatkannya.

Sarjan Asri menunjukkan Pingat Jasa Malaysia yang dianugerahkan kepadanya.

Sarjan Asri berkata, walaupun generasi yang ada hari ini kebanyakkannya tidak sempat melalui detik- detik itu, sekurang- kurangnya belajar untuk menghargai apa yang sedang dinikmati.

"Cuba bayangkan bagaimana nasib kita sekiranya masih dikuasai kuasa asing, masih hidup dalam ketakutan dan perlu akur dengan cara serta pemikiran orang luar (penjajah) walaupun berada di bumi sendiri," katanya.

Menurutnya, jika generasi muda sedar betapa peritnya hidup di zaman penjajah, beliau percaya masing- masing tidak akan pernah membiarkan sejarah itu berulang.

"Jadi hargailah apa yang sudah kita miliki hari ini, anak- anak dapat belajar dengan kemudahan serba lengkap, jauh lebih mudah berbanding anak- anak di zaman penjajah," katanya.