GUA MUSANG - Masalah laluan rosak di kawasan pedalaman Pos Balar sehingga penduduk terputus hubungan bukanlah perkara baharu malah ia boleh berpanjangan sekiranya hujan berlarutan.

Baru-baru ini, lebih 20 penduduk Orang Asli Pos Balar, bergotong-royong membaiki jalan dari Kampung Tapai ke pos berkenaan.

Menurut penduduk Kampung Temaga, Pos Balar, Along Busu, 41, selama empat hari penduduk di beberapa kampung bertungkus lumus membaiki laluan berkenaan.

“Beberapa hari lalu, hujan berlarutan sehingga menyebabkan jalan berlopak, rosak dan terhakis sehingga menyebabkan laluan itu tidak dapat dilalui.

“Malah, urusan untuk menghantar anak ke sekolah juga susah kerana ia juga laluan utama ke Sekolah Kebangsaan (SK) Balar.

“Kami meletakkan kayu sebagai titi untuk sementara. Tapi jika hujan berlarutan, ia akan rosak lagi,” katanya.

Tambahnya, bukan sahaja tidak dapat menghantar anak ke sekolah, malah untuk ke bandar Gua Musang juga susah apabila laluan berkenaan rosak.

Sementara itu, Guru Besar SK Balar, Muhammad Napi Mohamed berkata, ia bukanlah perkara baharu kerana kerosakan itu sering terjadi di laluan tersebut.

“Bila laluan rosak, kehadiran murid juga akan merosot sedikit kerana rata-rata menggunakan laluan berkenaan,” katanya.