KOTA BHARU - Hampir 8,000 daripada 10,339 penduduk di Ketereh liat untuk melunaskan cukai pintu dengan tunggakan RM3.03 juta, sehingga tahun ini.

Yang Dipertua Majlis Daerah Ketereh Perbandaran Islam (MDKPI), Datuk Tengku Azmi Tengku Jaafar berkata, ia melibatkan tunggakan lebih dua tahun membabitkan pemilik kediaman taman perumahan, mukim, rumah kedai dan harta khas.

Katanya, pemilik kediaman taman perumahan mencatatkan nilai tertinggi dengan jumlah RM1.8 juta diikuti rumah kedai RM606, 319.28 manakala pemilik rumah di kawasan mukim sebanyak RM300,000.

Sementara pemilik stesen minyak, pasaraya dan menara telekomunikasi katanya, termasuk dalam kategori harta khas, gagal membayar cukai pintu sebanyak RM287,197.89.

"Memandangkan jumlah tunggakan yang tinggi, MDKPI ditegur oleh Jabatan Audit Negara supaya bertindak tegas terhadap pemegang bil yang belum dijelaskan.

"Ini memaksa MDKPI mengambil tindakan sita ke atas pemilik premis berkenaan," katanya, selepas Operasi Sitaan Khas Cukai Taksiran, petang tadi.