KOTA BHARU - Penjawat awam dan penduduk Taman Desa Kemumin, Pengkalan Chepa resah apabila rumah yang diduduki sejak hampir 20 tahun kini retak pada bahagian dinding.

Mangsa, Mohd Noor Che Mood, 54, berkata, keluarga berkenaan kecewa apabila keretakan itu didakwa berlaku apabila air mendap selepas syarikat pembentungan swasta mengorek longkang di belakang rumahnya.

“Empat tahun lalu, air longkang di belakang kawasan perumahan Taman Desa Kemumin ini bertakung, melimpah dan berbau busuk menyebabkan syarikat pembentungan itu datang mengorek punca masalah tersebut.

“Namun, kerja-kerja pembentungan tersebut bukan sahaja tidak siap, malah menimbulkan masalah apabila tanah pada longkang ini semakin mendap hingga menjadi kedudukan rumah seolah-olah tergantung,” dakwanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya, di sini, hari ini.

Lebih mengecewakan, keluarga dan penduduk terlibat mendakwa sudah membuat aduan terhadap syarikat pembentungan swasta terbabit, namun pihaknya menafikan kerja baik pulih tersebut.

“Kami tidak tahu perlu mengadu kepada siapa, syarikat pembentungan tidak mengaku longkang itu dikorek oleh siapa, lalu mereka berhubung dengan agensi pusat, namun kesemuanya memberitahu perkara itu bukan dalam bidang kuasanya.

“Keadaan rumah semakin mengancam nyawa kami sekeluarga kerana longkang yang ‘tergantung’ ini boleh runtuh bila-bila masa.

“Kami berusaha untuk mengatasi masalah ini dengan memasang gril besi bagi mencantumkan semula (membuat penampal) dinding retak pada dinding tandas, tetapi usaha itu kurang berhasil,” katanya.

Isterinya, Rohani Daud, 54, juga memberitahu kebimbangannya terutama pada waktu hujan kerana tanah boleh mendap apabila air yang turun menyerap dan boleh meruntuhkan longkang tersebut.

“Kami merayu syarikat pembentungan swasta itu atau pihak berkuasa tempatan (PBT) segera membantu bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERMATANG PASIR - Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) telah mengeluarkan kompaun tindakan menghentikan kerja pembinaan sebuah tangki air konkrit di Tapak Projek Pembangunan Loji Rawatan Air Labohan Dagang di Bukit Jugra, atas kegagalan pihak terbabit mengawal operasi sehingga menyebabkan banjir di kawasan sekitar.
  • PUCHONG - Seorang pemilik syarikat kerugian hampir RM15,000 apabila pejabatnya yang terletak di tingkat satu kompleks rumah kedai Suria Kinrara Taman Kinrara Seksyen 3, bertakung air petang, semalam.
  • KOTA BHARU - Tidur-tidur ayam sudah menjadi perkara biasa buat penduduk di gigi pantai tatkala memasuki musim tengkujuh kerana bimbang rumah mereka dilambung ombak.
  • SUBANG BESTARI - “Kalau boleh saya nak minta tukar unit rumah lain, kasihanilah suami yang selalu kena sawan dan jatuh tak kira tempat,” rayu ibu anak enam, yang tinggal di pangsapuri milik Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Subang Bestari di sini.
  • KLANG - Ketua kampung dan penghulu diminta menyalurkan maklumat berkenaan ban yang rosak bagi membolehkan pihak berkuasa membaikpulih sebelum tibanya fenomena air pasang besar yang dijangka pada 3 hingga 7 November depan.