PASIR MAS - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat seolah-oleh sudah hilang integriti apabila Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Pulau Pinang daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah banglo.

Ketua Pemuda Umno Kelantan, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, pembebasan tersebut menunjukkan kegagalan SPRM untuk meyakinkan pihak Peguam Negara supaya kes tersebut terus dibicarakan.

"SPRM seharusnya bertegas dalam kes banglo itu kerana mereka melakukan siasatan tetapi, apabila perkara ini berlaku saya lihat agensi berkenaan bagaikan sudah hilang integriti.

"Bagi saya, seharusnya Ketua Persuruhjaya SPRM, Tan Sri Mohd Shukri Abdull bertangunggjawab dalam hal ini," katanya.

Katanya ketika ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang membebaskan Guan Eng dan ahli perniagaan wanita, Phang Li Koon daripada dua pertuduhan rasuah dan salah guna kuasa berhubung pembelian banglo di bawah harga pasaran.

SPRM kemudiannya mengeluarkan kenyataan ringkas menyatakan pihaknya 'amat terkejut' dengan keputusan itu dan berkata ia tiada kaitan dengan agensi penguatkuasaan berkenaan.

Noor Hariri berkata, keputusan penarikan balik kes oleh pihak pejabat peguam negara turut disifatkan sebagai tindakan memalukan Kerajaan Malaysia pada hari ini.

Menurutnya, Kerajaan Malaysia yang dipimpin PH sangat menitikberatkan rule of law dalam mentadbir negara ini.

"Seharusnya kes ini diteruskan dan dibuktikan tidak bersalah secara perundangan, bukannya dengan kaedah yang sangat keji seperti ini. Kami amat kecewa dengan kenyataan 'terkejut' dikeluarkan SPRM terhadap kes itu.

"Tindakan itu dilihat seolah-olah cuba menyembunyikan kelemahan dan ketidaktelusan dalam siasatan serta pendakwaan membabitkan individu penting dalam pentadbiran negara pada hari ini," katanya.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Guan Eng bebas tuduhan rasuah ]