KOTA BHARU – Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Melayu Semenanjung Malaysia (Pembawa) meminta kerajaan mengkaji struktur tambang pengangkutan awam sedia ada bagi membolehkan semua syarikat bas di negara ini terus kekal berdaya saing.

Presidennya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, ia berikutan kadar tambang tidak pernah dinaikkan sejak sedekad lalu sehingga menyebabkan pengusaha perkhidmatan itu menanggung kos operasi yang tinggi.

“Kalau sentuh mengenai tambang memang ia satu perkara sensitif kerana melibatkan kenaikan tetapi saya fikir sudah tiba masanya kerajaan menyemak semula perkara ini.

“Bagi pihak persatuan (Pembawa) kita sentiasa berjuang, bukan nak (kenaikan) banyak tetapi hanya memadai untuk menampung kos yang terpaksa ditanggung sejak 10 tahun lalu,” katanya kepada pemberita pada majlis Kempen Kibar Jalur Gemilang dan Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-61 anjuran Konsortium E-Mutiara Berhad (KEMB) di Kota Bharu, semalam.

Dalam masa sama beliau memberitahu, Pembawa juga berharap kerajaan menurunkan harga minyak diesel bagi memastikan pemain industri berkenaan tidak terbeban dengan kenaikan sumber bahan api itu.

“Setakat hari ini tak ada kenaikan, kita bukan sahaja harap tidak berlaku kenaikan tetapi kalau boleh harga diesel diturunkan terutamanya kepada pengusaha pengangkutan awam.

“Kita ini memberi perkhidmatan kepada rakyat, kos sentiasa meningkat dan berharap kerajaan dapat perhalusi turun naik harga minyak diesel ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Che Ibrahim yang juga Pengerusi Eksekutif KEMB menjelaskan, pihaknya bakal menambah 20 bas lagi menjadikan jumlah keseluruhan 90 buah menjelang akhir tahun ini.

Menurutnya, pertambahan tersebut membolehkan KEMB mengembangkan operasi mereka selain menampung kapasiti 80,000 penumpang setiap bulan yang menggunakan perkhidmatan mereka, ketika ini.

“Kita juga dalam proses percubaan dua bas terpanjang berukuran 15 meter jenama Scania Marcopolo bernilai RM800,000 setiap satu dan laporan kajian ini akan kemukakan kepada Kementerian Pengangkutan untuk mendapat kelulusan.

“Kita jangka akhir bulan depan ia dapat beroperasi jika diberi kelulusan. Bas ini bertaraf eksekutif dan boleh memuat 39 penumpang namun tambangnya kekal pada harga ekonomi,” katanya.