GUA MUSANG - Penglibatannya dalam kesenian dikir barat bermula sejak era 80an lagi di mana figura ini menjadi rujukan utama kepada golongan pelapis yang ada di daerah ini.

Che Min Sulaiman, 67, tidak asing lagi dalam arena dikir barat kerana Tok Jogho ini pernah beraksi di pentas RTM, peringkat separuh akhir pada 1994.

Namun peneroka Kesedar Jeram Tekoh ini, pencapaian itu hanya terselit sebagai kenangan manis di sepanjang penglibatannya kerana dunia seni berkenaan kini seolah-olah semakin hilang dimamah zaman.

“Saya mula terlibat dalam dikir barat sejak tahun 80an dan ketika itu adalah zaman kegemilangan seni muzik berkenaan. Saya membawa nama Kesedar (Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan), kerana diberi tanggungjawab dalam Biro Kebudayaan agensi berkenaan.

“Ketika itu, sering kali Kesedar mengadakan pertandingan dan persembahan sehinggalah pada era 90an. Namun, sejak lima tahun kebelakangan ini, kita tidak lagi dibekalkan peruntukan untuk program berkenaan.

“Kini, nak kata pertandingan,persembahan juga hanya ada apabila diundang untuk perasmian majlis.

“Apa yang saya nampak, warisan seni ini akan hilang begitu sahaja jika tiada kerjasama daripada agensi dan jabatan di satu-satu kawasan,” katanya lagi.

Tambah Che Min, selain menyanyi, dia juga turut diberi peluang menjadi tenaga pengajar untuk kumpulan dikir di kawasan sekitar Gua Musang iaitu Sungai Asap, Paloh 3, Renok dan Jeram Tekoh.

“Banyak kumpulan dikir pelapis di Gua Musang, tetapi dari segi pimpinan, tiada orang yang boleh membawa mereka ke peringkat lebih tinggi.

“Lagipun, tiada peruntukan dari kerajaan negeri untuk memantapkan lagi seni kebudayaan kita. Mereka hanya bergantung kepada minat semata-mata kerana untuk pergi jauh, saya sendiri tidak nampak hala tuju itu,” katanya.

Semua tinggal kenangan

Berkongsi zaman kegemilangan dikir barat, Che Min memberitahu, dia pernah memperolehi pendapatan mencecah RM8,000 sebulan pada tahun 80an.

Katanya, biarpun bayaran ketika itu hanya RM100 bagi setiap program, namun kekerapan undangan membuatkannya memperolehi pendapatan yang sangat lumayan.

“Jumlah itu pada era 80an, sudah dikira banyak. Malah, hampir setiap hari ada sahaja undangan. Namun kini, sebulan hanya dua atau tiga kali sahaja.

Anak-anak muda yang minat dikir barat hanya menjadikannya sebagai hiburan.

“Dari segi bayaran kini, saya dibayar RM200 untuk satu program. Tukang karut pula RM300 hingga RM400 manakala kumpulan yang terdiri daripada 20 orang pula dibayar RM600.

“Selain dari undangan persembahan untuk program jabatan, saya juga turut menerima undangan persembahan di majlis pernikahan. Bayaran yang diterima pula tidak menentu, ada lebih ada kurang,” jelasnya.

Tambah Che Min yang pernah menjuarai Pertandingan Dikir Barat Peringkat Rancangan Kesedar pada 1997, dia kini mengetuai dua kumpulan iaitu Kumpulan Tabuh Selatan dan Kumpulan ECER.

“Kalau kira usia, saya sudah boleh bersara dan mewariskan seni ini kepada pelapis. Namun, bila ada permintaan untuk mengajar daripada ibu bapa, saya ajar budak-budak yang minat.

“Kita sudah ada ramai pelapis antaranya Kumpulan Seri Kenanga, Kumpulan Renok Baru, Kumpulan Sri Murni dan Kumpulan Paloh 3.

“Jika digilap dan diberi perhatian, kumpulan ini mampu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi, bukan sekadar melampiaskan minat semata-mata,” katanya lagi.

Pelapis tiada arah tuju

Bagi pelapis yang juga Tok Jogho Kumpulan Suara Manja, mereka masih mencari platform untuk mengetengahkan warisan berkenaan di peringkat yang lebih baik.

Menurut Che Muhammad Faqeh Che Amat atau nama jolokan, Ngoh S Manjo, sejak penubuhan kumpulan tiga tahun lalu, sehingga kini mereka tiada peluang untuk melangkah lebih jauh.

“Jika pendikir lama dapat merasai zaman kegemilangan, kami tidak menikmati zaman itu kerana ia makin hilang dan tidak diberi perhatian khusus.

“Jika dahulu, persembahan bertiket dapat membantu kumpulan dikir memperolehi pendapatan lumayan, namun kini situasi itu sudah tiada.

“Kita hanya mengharapkan program-program anjuran jabatan, NGO dan agensi namun tidak selalu ada. Kita tidak tahu ke mana arah tuju, mungkin pelapis yang ada hanya bersandar atas dasar minat sahaja kerana untuk meraih pendapatan, sudah tentu ia bukan pilihan yang sesuai,” katanya.

Tambahnya lagi, kumpulan dikir ini hanya lebih ‘bernafas’ ketika kempen pilihan raya kerana ia salah satu hiburan pilihan untuk berkempen di waktu itu.