• Awang Adek (kanan) menyampaikan wang ihsan kepada pelajar yang layak ke IPTA. Awang Adek (kanan) menyampaikan wang ihsan kepada pelajar yang layak ke IPTA.
1 /

BACHOK - Seramai 1,755 pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian di pusat pengajian tinggi (IPT) bagi kemasukan 2011/2012, masing-masing menerima bantuan wang ihsan berjumlah lebih RM1.1 juta.

Pengerusi Pengagihan Wang  Ihsan Kelantan, Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata, semua pelajar  yang layak menerima bantuan itu secara berperingkat yang diuruskan Jabatan Pembangunan Persekutuan.

Menurutnya, peruntukan tersebut adalah sebahagian daripada RM24 juta sumbangan Kerajaan Persekutuan, kepada Kelantan setiap tahun di bawah peruntukan wang ihsan.

“Pelajar Kelantan tidak seharusnya terpengaruh dengan tuntutan pihak pembangkang untuk mendapatkan pemberian royalti minyak, dan enggan menerima pemberian wang ihsan.

“Sedangkan konsep kedua-duanya sama hanya yang berbeza pemberian royalti disalurkan kepada Kerajaan Negeri, manakala pemberian wang ihsan melalui JPP. Semuanya sama untuk manfaat rakyat Kelantan dan Kerajaan Persekutuan tidak pernah mengabaikan hak rakyat
Kelantan,” katanya selepas menyampaikan wang ihsan kepada pelajar  Bachok, di Dewan Haji Hussin semalam.

Dalam majlis tersebut penuntut peringkat ijazah menerima wang RM800, penuntut peringkat diploma menerima RM500 dan penuntut matrikulasi menerima RM300.

Awang  yang juga Timbalan  Menteri Kewangan turut menyampaikan cek berjumlah RM69,600 kepada 108 penuntut  yang mengikuti pengajian di  luar negara, termasuk di Mesir sebagai tanda prihatin  sekali gus mengurangkan beban penuntut.