KOTA BHARU - Pas dan Umno mampu menjadi satu suara yang vokal di Parlimen dalam memperjuangkan kepentingan Islam di negara ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, tidak mustahil untuk kedua-dua pihak bersatu hati di dalam isu yang menyentuh kepentingan Islam dan Melayu.

Menurutnya, jika digabungkan 57 kerusi dikuasai Umno dan 18 dimiliki Pas ia mampu diterjemahkan menjadi kuasa kuat demi masyarakat Islam di Malaysia yang tidak mudah dipertikaikan pihak lain.

“Dalam isu yang menyentuh kepentingan Islam dan Melayu tidak menjadi masalah untuk Pas dan Umno menjadi satu suara di Parlimen. Bukan bermakna kita bergabung.

“Politik itu cerita lain, jangan salah faham. Kita harap Umno menilai kedudukan mereka sekarang ini dan betulkan semula. Kalau boleh betulkan balik kita pun suka,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Amar melihat biarpun parti itu mengalami kekalahan teruk pada PRU14 akibat tsunami rakyat dengan hilangnya kerajaan, namun Umno masih kuat berbanding yang lain.

“Sebagaimana solidariti selama ini dalam isu RUU 355, kekejaman di Palestin dan penindasan terhadap etnik Rohingya maka tidak sukar ia diteruskan di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan ini.

“Sebab itu kita harap boleh bersatu di Parlimen. Ini bukan main-main (kuasa Umno), suara membela Islam boleh jadi kuat. Dulu boleh duduk sekali dan selepas ini segala-galanya jadi lebih mudah (daulatkan Islam),” katanya.