KOTA BHARU - Pas tetap meletakkan harapan tinggi supaya Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 2016 (RUU355) dapat dibahaskan pada sidang Parlimen kali ini.

Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Ahmad Yakob berkata, walaupun wujud bayangan awal RUU tersebut tidak sempat dibentangkan, namun pihaknya tetap berharap ada ruang dan peluang diberikan kepada pihaknya untuk meneruskan prosedur meluluskan RUU tersebut.

“Kita harap sempat, dan beri peluang kepada kita. Semua ini terpulang kepada pentadbiran kerajaan baru.

“Sebelum ini kita hanya berada (berhenti) peringkat Speaker untuk mengemukakan RUU itu untuk dibahas setelah dicadangkan oleh Ahli Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan disokong Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

“Semuanya terletak kepada Speaker untuk menentukannya nanti,” katanya kepada media ketika ditemui pada majlis penyampaian Watikah Pelantikan Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.