KOTA BHARU – Persatuan Alumni Politeknik Kota Bharu (PAPKB) mengalu-alukan lebih ramai bekas pelajar politeknik itu menyertai persatuan berkenaan, pada masa akan datang.

Penasihatnya, Mohd Hisham Makhtar berkata, setakat ini seramai 15,000 lepasan politeknik tersebut mendaftar menjadi ahli sejak persatuan itu ditubuhkan, 10 tahun lalu.

“Sejak PKB beroperasi pada 1985, sudah seramai 45,000 orang menamatkan pengajian tetapi buat masa sekarang lebih kurang 15,000 orang menjadi ahli persatuan ini.

“Jadi, saya mohon kepada bekas-bekas pelajar tidak kira di mana mereka bermastautin atau bekerja di mana agar dapat menjadi ahli sekali gus memberi sokongan kepada barisan kepimpinan menggerakkan aktiviti persatuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Alumni Raya di Dewan Jubli Perak PKB, baru-baru ini. Hadir sama Presiden PAPKB, Zamzuri Arifin, Timbalan Presiden, Adnan Che Wil, Setiausaha Agung, Syed Mohmad Apandi Syed Omar dan Ketua Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Zaid Noor.

Beliau yang merupakan Timbalan Pengarah (Sokongan Akademik) PKB memberitahu, dengan hanya yuran RM50 seumur hidup bekas pelajar yang mendaftar sebagai ahli berpeluang menikmati pelbagai faedah jangka panjang.

“Kita ada sumbangan khairat kematian untuk ahli atau pasangan dan anak mereka sekiranya meninggal dunia selain kita memperkenalkan tabung kebajikan sekiranya mana-mana ahli ditimpa musibah,” katanya.

Sementara itu, Zamzuri menjelaskan, PAPKB sudah melebarkan sayap mereka apabila turut melaksanakan aktiviti khidmat sosial masyarakat di luar negara seperti di Kemboja, Vietnam dan selatan Thailand.

“Bukan itu sahaja, malah kita juga turut mengadakan aktiviti berterusan sepanjang tahun termasuk program motivasi khusus untuk pelajar semester akhir di samping klinik menjawab peperiksaan untuk murid serta pelajar sekolah rendah dan menengah.

“Terbaharu, kita juga merancang untuk menganjurkan majlis makan malam sempena ulang tahun ke-10 persatuan ini dijangka September ini,” katanya.