KOTA BHARU - Padah miliki senjata api pistol jenis revolver .38 Colt 4”, bulan lalu, seorang pemuda dihukum penjara 10 tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Mohd Azzrol Irfan Abu Seman, 21, dari Kampung Simpangan, Tumpat, turut dikenakan 10 kali sebatan kerana kesalahan itu.

Pemuda yang tidak mempunyai pekerjaan itu didakwa memiliki senjata tanpa sebarang permit atau lesen sah di hadapan sebuah rumah di Kampung Baung, Seri Kedeper, Jalan Pengkalan Chepa di sini, pada jam 12.30 pagi, 29 Julai.

Sebelum ditahan, tertuduh bersama seorang rakannya bernama Farid pergi ke sebuah rumah di kampung berkenaan untuk menuntut hutang. Farid yang turun kereta kembali semula selepas gagal mendapatkan hutang itu.

Tertuduh yang tadinya bersembunyi di dalam kereta kemudian turun dan pergi ke rumah itu, manakala, Farid pula beredar meninggalkan tempat kejadian.

Tertuduh kemudian menuntut hutang sambil menunjukkan pistol terhadap mangsa bernama Jani menyebabkan dia lari ketakutan.

Farid bagaimanapun berjaya ditahan dan memandu arah polis ke rumah berkenaan. Semasa polis menghampirinya, tertuduh bertindak mengeluarkan sepucuk pistol daripada bahagian kiri pinggang.

Pasukan polis pantas menerkam tertuduh dan berlaku pergelutan sebelum pistol itu jatuh lalu tertuduh berjaya ditahan.

Turut dirampas tujuh peluru hidup, sebilah parang dan pisau yang diselitkan di belakang badan serta tiga tangkal azimat yang dipakai pada pinggang.

Pada prosiding semalam, Timbalan Pendakwa Raya negeri, Asmah Azahari memohon hukuman berat dikenakan mengambil kira jenayah senjata api yang semakin berleluasa kebelakangan ini.

“Banyak kejadian tembak berlaku akhir-akhir ini dan ada antaranya menyebabkan kematian. Masyarakat memerlukan perlindungan mahkamah daripada penjenayah seperti tertuduh dan penjenayah-penjenayah lain di luar sana,” katanya.

Dalam perkembangan sama, tertuduh turut dihukum penjara tiga tahun kerana miliki peluru, enam bulan dan satu sebatan kerana miliki parang serta enam bulan kerana miliki pisau lipat. Hukuman berkuat kuasa serentak daripada tarikh dia ditahan
menjadikan tertuduh perlu menjalani hukuman penjara 10 tahun dan 11 sebatan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PUTRAJAYA - BN Selangor akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membolehkan siasatan semula dilakukan terhadap kerajaan PKR Selangor berhubung isu penyelewengan dan salah guna kuasa dalam pengagihan tanah di Kampung Sungai Yu, Kuala Selangor.
  • KUALA ROMPIN - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) diteruskan untuk hari ketiga, hari ini dalam jarak sekitar 4.5 batu nautika dari kawasan bot karam ditemui iaitu berhampiran Pulau Lalang, Endau, Johor.
  • GUA MUSANG - Polis menahan lima individu termasuk sepasang suami isteri kerana disyaki memiliki dadah dalam tiga serbuan berasingan di Kesedar Lebir, Felda Chiku 2 dan Kampung Baru, di sini.
  • GEORGETOWN - JKP Sdn Bhd (JKPSB) menyasarkan untuk membina 10,000 lagi unit perumahan mampu milik di seluruh negeri ini dalam tempoh lima tahun akan datang.
  • KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenaan menganugerahkan darjah kebesaran dan bintang kepada 107 penerima pada Istiadat Penganugerahan/pengurniaan Darjah dan Bintang Kebesaran Selangor sempena menyambut ulang tahun Hari Keputeraan baginda yang ke-72 di Istana Alam Shah, dekat sini hari ini.