KOTA BHARU – Akibat membelasah lelaki tidak siuman yang mengambil lauk di kedai ibunya dengan tangan kotor, seorang pemuda dihukum penjara sebulan dan diarah membayar pampasan RM2,000 di mahkamah sesyen, di sini, hari ini.

Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menjatuhkan hukuman tersebut setelah Muhammad Hushairi Abdullah, 24, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan.

Tertuduh didakwa menyebabkan kecederaan kepada Ismail Nor, 63, dengan menggunakan sebatang penyapu aluminium di sebuah surau di Kampung Pengkalan Baru, Bachok, pada jam 3.30 petang pada 9 Februari lalu.

Dakwaan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Abu Bakar, manakala tertuduh diwakili peguam, Ariyani Mohd Amin @ Abdul Hamid.

Tertuduh melalui peguamnya itu merayu supaya diringankan hukuman kerana mempunyai dua anak yang masih kecil.

“Saya mohon tertuduh dikenakan bon berkelakuan baik kerana usia masih muda selain menyertakan surat akuan daripada penghulu kawasan itu mengatakan mangsa sering membuat kacau di kedai makan dan terhadap penduduk,” katanya.

Hajarul Falenna bagaimanapun memohon agar mahkamah mengenakan hukuman penjara selain diberikan pampasan kepada tertuduh sebagai pengajaran agar mengawal tindakan bagi melayan mereka yang menghidap sakit mental.

“Tertuduh sebagai seorang yang waras perlu lebih waras daripada mangsa yang menghidap sakit mental, bukannya memukul dengan batang penyapu sehingga mangsa mengalami kecederaan parah,” katanya.

Ahmad Bazli kemudian menjatuhkan hukuman penjara tersebut bermula semalam selain mengarahkan tertuduh.

Mangsa adalah pesakit mental yang dimasukkan ke Wad Cempaka Hospital Raja Perempuan Zainab II, di sini,

selepas patah kaki kanan dan tangan kiri serta cedera di kepala akibat dipukul tertuduh.

Mangsa sering ke kedai makan ibunya di tepi Jalan Pengkalan Baru, Bachok dan mengambil makanan tanpa sebarang bayaran.

Tertuduh sebelum ini tidak pernah menghiraukan perbuatan itu kerana tahu mangsa menghidap penyakit mental.

Pada hari kejadian, mangsa mengambil sendiri lauk di kedai itu dengan tangan yang kotor selain memarahi isteri tertuduh.

Tertuduh keluar mencari mangsa dan menemuinya di surau tersebut lalu menegur mangsa.

Berlaku pergelutan antara tertuduh dan tertuduh mengambil sebatang penyapu aluminium lalu memukul mangsa beberapa kali.

Bapa tertuduh kemudian datang dan mengarahkan tertuduh agar menghentikan perbuatan itu.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BERA - Kesal dengan sikap guru di salah sebuah sekolah di daerah ini, ibu bapa kepada seorang pelajar yang menjadi mangsa pukul di sekolah terbabit nekad mendedahkan perkara itu demi masa depan anaknya.
  • ALOR SETAR - Polis sedang memburu beberapa suspek yang disyaki membelasah seorang pemuda keturunan Siam dalam kejadian di sebuah kebun getah di Kampung Kura, Sik pada Isnin lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki terpaksa akur apabila dijatuhi hukuman penjara 26 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, semalam, kerana melakukan ugutan jenayah dan membelasah rakan sekampungnya sehingga cedera, dalam satu kejadian gaduh, tahun lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Seorang lelaki terpaksa akur apabila dijatuhi hukuman penjara 26 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, di sini, kerana melakukan ugutan jenayah dan membelasah rakan sekampungnya sehingga cedera, dalam satu kejadian gaduh, tahun lalu.