PASIR PUTEH - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan menahan 28 bot di perairan negeri ini dari Januari tahun ini sehingga semalam dengan nilai rampasan mencecah RM50 juta.

Pengarah Maritim Negeri Kelantan, Kepten Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata, 20 kes daripada jumlah tersebut adalah membabitkan bot nelayan Vietnam, satu bot Thailand dan tujuh bot tempatan.

Katanya, Operasi Perkasa Timur dan Operasi Marikh dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan zon maritim bebas daripada aktiviti menyalahi peraturan negara.

"Selepas pendakwaan dilakukan dan didapati bersalah, bot mereka dilucut hak untuk dijadikan sebagai tukun tiruan bagi menggalakkan pembiakan ikan. Sehingga kini kita berjaya menyediakan 140 tukun tiruan daripada bot dirampas," katanya.

Menurutnya, menerusi operasi dilakukan aset KM Jujur yang diketuai Pegawai Memerintah, Leftenan Komander Ahmad Faez Mat Ghani kelmarin, satu bot ditahan jam 10.09 malam pada jarak 96 Batu Nautika dari Kuala Tok Bali.

Katanya, 27 nelayan warga Vietnam berusia dari 17 hingga 53 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen iaitu menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa kebenaran sah oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain tiada dokumen pengenalan diri dan permit kerja sah.

“Bot nelayan itu memadamkan lampu dan cuba untuk melarikan diri apabila dihampiri tapi kita berjaya menahannya, awak-awak bersembunyi di dalam peti penyimpanan ikan dan di bawah timbunan pukat," katanya.

Nurul Hizam berkata, nilai rampasan dianggarkan RM1.5 juta merangkumi bot, 11 tan metrik ikan dan 10,000 liter diesel.

"Kesemua nelayan terbabit termasuk tekong yang baru berusia 23 tahun ditahan reman selama dua minggu sebelum proses pendakwaan dilakukan," katanya.

Beliau berkata, tindakan nelayan asing menyamar sebagai nelayan tempatan dengan menggunakan nombor pendaftaran dan mewarnakan bot seperti nelayan tempatan untuk mengaburi mata pihak berkuasa gagal kerana Maritim sudah mengenal pasti taktik tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KOTA TINGGI - Polis berjaya merampas pelbagai jenis mercun membabitkan nilai RM8,000 dalam satu serbuan dilakukan di Jalan Bawal 3, Taman Dayat, malam semalam.
  • KUALA PERLIS - Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Perlis merampas rokok putih dan minuman keras pelbagai jenis bernilai lebih RM7 juta dalam satu serbuan di Permatang Pauh, Pulau Pinang, petang kelmarin.
  • BACHOK - Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Kelantan berjaya merampas pelbagai jenis dadah dalam Ops Tapis Bersepadu yang diadakan selama empat hari bermula 27 hingga 31 Januari lalu.
  • IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak berjaya merampas tiga komputer dan enam komputer riba yang mengandungi perisian salinan langgaran bernilai RM327,000 dalam serbuan di dua premis perniagaan di sini, minggu lalu.
  • ALOR SETAR - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah merampas 85 tenggiling dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Darat, Changlun, di sini, semalam.