• Nik Abdul Aziz Nik Nik Abdul Aziz Nik
1 /

KOTA BHARU - Bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia untuk melepaskan jawatan Pesuruhjaya Pas Kelantan dan diserahkan kepada Menteri Besar yang baru dilantik, Datuk Ahmad Yakob.

Setelah berundur sebagai menteri besar pada 6 Mei lalu, Nik Aziz masih memegang jawatan Pesuruhjaya Pas Kelantan sehingga diadakan pelantikan baru.

“Tak boleh orang lain (menjadi Pesuruhjaya Pas) selain menteri besar, tidak boleh. Jadi selagi Pas Pusat tidak membuat pelantikan baru saya masih pegang (masih menjadi Pesuruhjaya Pas Kelantan).

“Tidak boleh Pesuruhjaya Pas Negeri orang lain, menteri besar orang lain. Tentu menteri besar juga yang kena pegang kedua-duanya sekali,” katanya kepada media semalam selepas mempengerusikan Mesyuarat Perhubungan Pas negeri di JKR 10 di sini.

Sehingga kini, beliau masih lagi sebagai Mursyidul Am Pas.

Pelantikan Nik Abdul Aziz sebagai Pesuruhjaya Pas Kelantan itu dibuat sebelum berlangsungnya muktamar Pas yang mencatatkan sejarah penting di Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur pada tahun 1982.

Sementara itu, Nik Abdul Aziz berkata, kemungkinan semalam kali terakhir beliau mempengerusikan mesyuarat tersebut sebelum jawatan dalam partinya itu disandang oleh pimpinan lain.

“Oleh kerana jawatankuasa pesuruhjaya masih lagi saya pegang belum ubah, saya hadir untuk ketuai mesyuarat Perhubungan Pas Kelantan.

Boleh jadi yang terakhir, walaupun boleh wakilkan kepada menteri besar baru tetapi saya nak tengok juga rakan-rakan yang berjaya dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu,” katanya.