KOTA BHARU - Tindakan 27 nelayan asing warga Vietnam termasuk seorang tekong yang menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara pada awal bulan lalu menerima membawa padah apabila dikenakan hukuman denda berjumlah RM15,000 hingga RM20,000 di mahkamah sesyen di sini, semalam.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman tersebut ke atas kesemua tertuduh yang berusia 21 hingga 46 tahun selepas mereka mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan dalam bahasa Vietnam.

Mengikut pertuduhan, Dang Van Hat yang merupakan tekong kapal nelayan Vietnam didakwa telah gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah kira-kira 49.3 batu nautika dari Pantai Mek Mas di sini pada jam 1.15 petang, 9 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(3) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) yang dibaca bersama Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga dua tahun, jika sabit kesalahan.

Manakala, 26 awak-awak didakwa tidak mempunyai lesen menangkap ikan yang sama daripada jabatan perikanan Malaysia kira-kira 96 batu nautika dari muara Tok Bali, Pasir Puteh dekat sini pada jam 10.09 malam , 18 Ogos lalu.

Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Perikanan 1985 (Akta 317) dan dihukum di bawah Seksyen 25 (a) yang memperuntukkan hukuman sehingga RM100,000 seorang, jika sabit kesalahan.

Van Hat dikenakan hukuman denda berjumlah RM20,000 manakala awak-awak didenda sebanyak RM15,000.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Maritim Malaysia, Muhammad Fauzan Mohd. Nor manakala tertuduh diwakili peguam awam.

Muhammad Fauzan mencadangkan agar kesemua tertuduh dikenakan hukuman setimpal atas alasan mereka telah menceroboh perairan negara selain memohon segala peralatan yang dirampas dilucut hak kepada kerajaan negeri agar kejadian sama tidak berulang lagi di masa hadapan.

Terdahulu, kesemua tertuduh merayu agar dikenakan hukuman ringan atas alasan merupakan penanggung utama keluarga di Vietnam selain memohon agar kapal mereka dikembalikan kepada pemilik.

Beliau berkata lagi, kesan pencerobohan nelayan asing terutamanya pukat tunda ganding menyebabkan kerosakan kepada ekosistem perairan di wilayah timur umumnya.

Sekiranya mereka gagal membayar denda tersebut, kesemua mereka boleh dikenakan hukuman penjara selama enam bulan di Penjara Machang.  

Difahamkan, hanya tekong sahaja yang menjelaskan denda tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MIRI - Seorang ahli perniagaan terkemuka dalam industri minyak dan gas, yang berusia 82 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap dua pertuduhan merogol seorang kanak-kanak perempuan berumur 12 tahun di dua lokasi berlainan di Bandaraya Miri.
  • SHAH ALAM - Angkara dendam, seorang peniaga kuih warga Bangladesh berdepan dengan hukuman mati selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas pertuduhan membunuh rakan senegaranya, dua minggu lalu.
  • KUALA LUMPUR - Seorang pemandu lori didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana secara tidak jujur menyembunyikan atau memindahkan wang tunai RM797 milik seorang pelajar kolej, Julai lepas.
  • SEREMBAN - Mahkamah Tinggi Seremban, di sini, semalam menangguhkan perbicaraan kes membabitkan seorang pelajar warga Korea yang didakwa mengedar dadah.
  • KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhi hukuman penjara 10 tahun dan enam sebatan terhadap seorang lelaki selepas didapati bersalah dalam kes tetak melibatkan seorang pemandu kereta Honda City, 7 Julai tahun lalu.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.