PASIR PUTEH - Penduduk Kampung Pak Mayong. Tok Bali di sini, melahirkan kebimbangan dengan awak-awak atau nelayan asing yang berkeliaran dalam kampung mereka.

Lebih membimbangkan, ada dalam kalangan mereka membawa senjata tajam dan pernah mengancam pendduk yang memantau pergerakan mereka.

Wakil penduduk, Fauzwi Ismail, 37, berkata, pada Isnin lalu, nelayan asing mengangkat parang dan berkata-kata dalam bahasa asing seperti memberi amaran kepada penduduk yang memerhatikan pergerakan mereka.

"Saya lihat sekumpulan sembilan lelaki warga asing berjalan dalam kampung kira-kira jam 1 pagi, saya minta adik saya dan rakannya memerhatikan apa aktiviti mereka.

"Adik saya pulang dalam ketakutan dan memberitahu nelayan asing itu mempunyai senjata tajam dan seperti memberi amaran kepadanya supaya tidak memerhatikan mereka," katannya.

Fauzwi berkata, atas faktor keselamatan, dia membuat laporan mengenai kejadian itu di Balai Polis Cherang Ruku, Semerak.

Menurutnya, isu awak-awak asing berkeliaran dalam kampung itu sudah lama berlaku tetapi malangnya, tiada pemantauan dibuat pihak berkuasa.

"Saya difahamkan mereka yang berkerja dengan pengusaha tempatan hanya memiliki Buku Pelaut, mereka hanya boleh berada di kawasan pelabuhan atau jeti sahaja.

"Tidak sepatutnya mereka bebas berkeliaran jauh dari pelabuhan sehingga menimbulkan ketidakselesaan penduduk," katanya.

Tambahnya, pihak berkuasa perlu memantau pergerakan warga asing ini sebelum kejadian tidak diingini berlaku.

"Kita hanya mahu mereka mengikut peraturan Buku Pelaut, mereka tidak boleh bebas sebagaimana warga asing yang memasuki negara kita dengan pasport," katanya kepada Sinar Harian.