BUKIT TUKU – Agak mustahil bagi seorang peniaga sayur-sayuran untuk mengumpulkan RM85,000 bagi dua pembedahan dilalui anak bongsunya di Institut Jantung Negara (IJN) Kuala Lumpur.

Suri rumah, Nurul Huda Mat Jin, 35, berkata, gaji suaminya, Harman Rahiman, 36, sebagai peniaga sayur-sayuran di Pasar Tasek Raja tidak cukup untuk menanggung kos pembedahan jantung berlubang anaknya, Muhammad Khalis Haidar Harman, 4.

Menurutnya yang tinggal di Kampung Kubang Gelang, anak bongsu daripada empat beradik ini baru sahaja selesai menjalani pembedahan pertama, Khamis lalu, dan dijadualkan untuk pembedahan kedua, Khamis ini.

“Bagi pembedahan pertama menelan belanja RM55,000, manakala pembedahan kedua sebanyak RM30,000. Saya dah tak tahu nak cari duit di mana,” katanya semalam.

Nurul Huda berkata, penyakit dikesan sejak lahir itu menyebabkan anaknya sering letih dan tubuhnya bertukar kebiruan jika terlalu aktif disebabkan kekurangan oksigen akibat saluran darah pada jantung sempit dan sebahagiannya tersumbat.

Katanya, pembedahan kali kedua ini perlu dilakukan segera bagi proses penyambungan tiub saluran darah lain.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Umno Rantau Panjang, Azram Ahmad berkata, bagi meringankan beban, Nurul Huda boleh membuat rayuan pembayaran daripada IJN.

“Selain itu, saya akan berusaha untuk membantu, Nurul Huda untuk mendapatkan bantuan lain.

“Selain pertubuhan bukan kerajaan (NGO), saya harap agensi lain di bawah kerajaan dapat membantu pembiayaan pembedahan anaknya di sini,” katanya.

Sebagaimana pesanan Ketua Umno Rantau Panjang, Senator Datuk Abdullah Mat Yasim, Azram berkata, keperluan anak jati Rantau Panjang di perantauan perlu dibantu terutama golongan kurang berkemampuan.

*Sumbangan boleh disampaikan kepada Nurul Huda menerusi akaun Maybank, 162357258714.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KANGAR - – Seorang bapa membuat laporan polis selepas mendakwa tindakan doktor Hospital Tuanku Fauziah (HTF) dekat sini melengahkan proses pembedahan hampir menyebabkan keadaan anaknya bertambah kritikal.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.