KOTA BHARU - Seorang murid pendidikan khas yang menggunakan kereta sorong untuk bergerak berjaya mengalahkan peserta negeri lain selepas dinobatkan sebagai pemenang bercerita kisah dari al-Quran sekolah rendah sempena Majlis Tilawah Al-Quran (MTAQ) Pendidikan Khas peringkat kebangsaan yang diadakan di sebuah hotel di Kota Bharu, semalam.

Walaupun saiz badannya kecil, murid Sekolah Kebangsaan Taman Rakan, Sungai Long, Selangor, Siti Aisyah Mohamad Daud, 10, berjaya memukau penonton dengan sesi bercerita penuh kepetahan.

Gurunya, Faridah Ani Abdul Aziz berkata, latihan dibuat sejak awal peringkat daerah menggunakan tajuk yang sama.

"Aisyah ada bakat bercerita sejak kecil dan dia suka lakukan sesuatu yang mencabar dan suka membaca buku. Ustazah sediakan teks dan ibunya yang komited dengan latihan di rumah.

"Di sekolah dia ramai kawan kerana dia petah berbicara dan peramah dengan semua orang. Kemenangan hari ini tidak dijangkakan kerana saingan pun amat hebat, namun alhamdulillah rezeki dia kali ini walaupun pertama kali menyertainya,” katanya.

Manakala Nik Nurul Hidayatul Azlin Alias diumumkan sebagai johan tilawah rendah perempuan diikuti Nurinin Sofiya Mohd Noor dari Terengganu di tempat kedua dan peserta Negeri Sembilan, Awfa Hanisah Muhammad Azrul di tempat ketiga.

Johan keseluruhan MTAQ kali ini ialah kontinjen Kuala Lumpur yang mendominasi beberapa kategori termasuk syarahan agama sekolah menengah perempuan, nasyid terbaik, solo terbaik, lagu terbaik, tilawah menengah lelaki dan perempuan, serta tilawah lelaki rendah.

MTAQ kali ini melibatkan 689 murid pendidikan khas dari seluruh negara melalui 26 acara yang bermula sejak 16 hingga 19 Oktober.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Kelantan, Zahari Othman berkata, MTAQ kali ini membawa tema ‘Kesatuan Ummah Kesejahteraan Negara’.

"Kami bersyukur dalam usaha untuk melahirkan ilmuwan bidang agama yang mantap keimanan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT ini kita berjaya mengumpulkan semuanya dalam satu majlis hari ini.

"Walaupun semua peserta adalah dari pendidikan khas, namun tiada masalah dalam mengendalikan majlis ini selama tiga hari dengan bimbingan sepenuhnya oleh guru dan pengelola program. Kami amat berterima kasih dengan kerjasama mantap dari Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Kelantan (Maik), polis, Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), jemaah hakim, ketua kontinjen, guru pengiring dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak,” katanya kepada media selepas majlis berkenaan semalam.

Majlis dirasmikan Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan, Shaari Osman.

Dalam ucapannya, Shaari Osman berkata, program seumpama itu mampu mengembangkan bakat dan potensi diri peserta melalui pelbagai aktiviti dan bergaul dengan rakan dari seluruh pelosok negara.

Menurutnya, kementerian sentiasa meletakkan murid keperluan khas sebagai agenda penting untuk memastikan murid tidak ketinggalan dalam semua agenda.

"Setiap tahun ramai murid keperluan khas menduduki peperiksaan berdasarkan keupayaan mereka. Terdapat sebahagian dari mereka menunjukkan pencapaian luar biasa sama ada dalam bidang akademik dan sebagainya. Ini menunjukkan bahawa mereka tidak terpinggir dalam arus perdana, malah adakalanya mereka lebih baik daripada anak biasa,” katanya.