RANTAU PANJANG – Seorang pemuda sempat meminta abangnya melunaskan hutang sebanyak RM11 di sebuah kedai di Kuala Lumpur, sebelum ditemui lemas di parit air Kampung Padang Jelapang, jam 8.05 pagi tadi.

Bapanya, Ismail Hassan, 63, berkata, anaknya, Saupi Ismail, 27, sempat meminta maaf dengan adik-beradik dan meminta semua hutangnya dilunaskan segera, sebelum lari ke arah hutan.

Ketika itu katanya, dia bersama isteri dan dua anak lelakinya membawa Saupi ke rumah pengamal perubatan tradisional di Kampung Chicha Tinggi.

“Terlalu banyak perubahan sikap yang ditunjukkan, maka kami harap dia dapat berubat di kampung.

“Tidak semena-mena, selepas dia bersalaman dan meminta maaf, dia terus lari ke hutan dan hanya ditemui terapung hampir 36 jam kemudian,” katanya.

Ismail berkata, dia tidak menyangka Saupi yang berkerja di Kuala Lumpur pulang ke kampung Rabu lalu, merupakan detik terakhir mereka akan bersama.

Menurutnya, sepanjang kepulangannya di kampung, Saupi tidak lekang dengan tasbih, berzikir dan sering menunaikan solat berjemaah di Masjid Rantau Mas.

Ismail yang juga bekas Pegawai Rela Rantau Panjang berkata, anak ke lima daripada tujuh beradik itu amat manja dengan ibunya, Salmah Mohamad, 53, dan sering bercerita mengenai kehidupannya di perantauan.

Katanya, jenazah anaknya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Rantau Panjang, selepas solat Asar.

Sementara itu, Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehilangan Saupi kelmarin dan gerakan mencari dilakukan oleh anggota keselamatan bersama penduduk kampung.

Katanya, kes ini diklasifikasikan sebagai mati lemas dan tiada unsur jenayah.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.