RANTAU PANJANG – Polis Pasir Mas melupuskan rampasan mercun, bunga api dan rokok seludup bernilai RM100,000, semalam.

Ketua Polis Pasir Mas, Asisten Komisioner Ibrahim Saad berkata, ia melibatkan rampasan lapan kes sepanjang 2016 hingga awal tahun ini.

Menurutnya, tiada sebarang tangkapan dilakukan kerana suspek dipercayai meninggalkan barang larangan sebelum melarikan diri.

Katanya, kes terbesar membabitkan rampasan di To’ Uban manakala selebihnya di Meranti, Bunut Susu dan Pasir Mas.

"Barang seludup dari negara jiran ini dipercayai digunakan untuk pasaran tempatan sempena musim perayaan," katanya selepas operasi pelupusan menerusi semburan air bersama pasukan Bomba di Balai Polis Rantau Panjang.

Hadir sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Mohd Adni Ibrahim.

Ibrahim berkata, pihaknya komited dalam membanteras penyeludupan mercun dan bunga api sebelum, ketika dan selepas Aidilfitri ini.

Beliau berkata, setakat ini, pihaknya tidak mengeluarkan sebarang lesen menjual mercun dan bunga api kepada peniaga.

Ibrahim turut menasihati penduduk agar tidak terlibat dalam kegiatan penyeludupan atau menjual mercun terutama ketika musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.

Menurutnya, jika didapati melakukan kesalahan, mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah mengeluarkan lesen ataupun permit kepada penjaja atau peniaga untuk menjual mercun di bazar-bazar Ramadan sekitar ibu kota.
  • KOTA BHARU - Pergerakan mencurigakan van muatan tiga tan yang berhenti di Jalan Pekan- Besut akhirnya terbongkar apabila mercun pelbagai jenis ditemui dalam kenderaan itu di sini semalam.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.