KOTA BHARU - Sungai Kelantan dari Pasir Mas menghilir ke Kuala Besar, Kota Bharu suatu ketika dahulu adalah antara sungai penghubung kampung berhampiran dan menyimpan pelbagai khazanah serta nostalgia.

Namun ia kini dilihat sunyi selepas jalinan jalan raya dibina dan dijadikan penghubung kawasan bandar dengan kampung sejak berpuluh tahun lamanya.

Kalau dahulunya Dataran Lembah Sireh adalah kawasan pertanian tembikai, namun kini yang tumbuh adalah bangunan dengan pelbagai bentuk.

Justeru, Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) Kelantan mengambil inisiatif menganjurkan kejohanan Perlumbaan Bot sempena Hari Kebangsaan ke 61 di hadapan Tambatan Diraja dan Menara Jam untuk mengembalikan kemeriahan Sungai Kelantan.

Presiden MAYC Kelantan, Mohd Hakimi Mat Hussin berkata, penganjuran julung kali diadakan di sungai itu melibatkan tiga kategori perlumbaan iaitu bot gentian kaca berenjin 15 kuasa kuda, bot enjin galah dan bot “skipper”.

“Biarpun berdepan kesukaran dan halangan termasuk kelebaran sungai, risiko arus dan sebagainya, namun inisiatif menghidupkan sungai Kelantan untuk tujuan pelancongan dan tarikan perlu dilakukan.

"Acara yang melibatkan 50 peserta ini turut membuka peluang kepada anak muda menyertai pertandingan perlumbaan bot secara sihat dan selamat,” katanya.

Menurutnya, sukan air berprestij yang berlangsung esok itu mendapat kerjasama Jabatan Belia dan Sukan Kelantan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kelantan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim.

"Pejabat Pelancongan, Kebudayaan dan Seni Kelantan, Polis Marin, Kerajaan Negeri Kelantan, Kelab Media Kelantan DarulNaim atau Kemudi dan Jabatan Pengairan dan Saliran juga terlibat dalam penganjuran ini," katanya.

"Acara yang bermula jam 8 pagi hingga 6 petang di Tambatan Diraja yang dijangkakan dihadiri lebih 5,000 penonton. Selain itu terdapat acara sampingan termasuk perarakan bot, pameran keselamatan, demonstrasi menyelamat di air oleh Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan.