RANTAU PANJANG – Mayat mangsa lemas di Sungai Golok tiga hari lalu, Hasan Che Omar, 19, ditemui kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan di Kampung Terap, kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.

Pasukan mencari dan menyelamat Malaysia terdiri daripada bomba dan penyelamat, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), ahli Skim Rondaan Sukarela (SRS) bekerjasama membantu kerajaan Thailand menyelamatkan rakyatnya bersama bomba dan Polis Air Negara itu sejak tiga hari lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang, Ghani Mamat berkata, mayat mangsa ditemui Bomba Thailand ditemui dalam keadaan terlangkup di permukaan air.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat semalam dimulakan kira-kira jam 8.30 bersama dengan penambahan dua lagi bot kepada 10 buah.

“Bomba Thailand berjaya menemui mangsa yang dikatakan lemas sejak Sabtu lalu tidak jauh dari tempat kejadian.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada keluarga mangsa untuk dikebumikan di Kampung Tok Lebir, Golok,” katanya.

Ghani berkata, operasi semalam melibatkan empat bot SRS, satu dari bomba dan, tiga bot polis dan dua bot JPAM dengan 38 kekuatan.

Menurutnya, operasi dihentikan kira-kira jam 10 pagi sebaik mayat mangsa ditemui.

Sabtu lalu, mangsa dikatakan mandi bersama empat lagi rakannya dipercayai lemas sebaik dia membuka jaket keselamatan dipakai dan diserahkan kepada rakannya.

Berikutan itu, penduduk kampung mengadakan usaha mencari dan menyelamat mangsa sebelum meminta bantuan daripada beberapa jabatan dari Malaysia.

Selain usaha mencari dan menyelamat, ibu mangsa, Mek Dah Awang, 54, turut menggunakan khidmat bomoh dan sembahyang hajat untuk mengesan anaknya.