GUA MUSANG - Masjid baharu berteraskan seni bina Masjidil Haram, yang dibina di Mukim Bandar Lama, bakal menjadi mercu tanda baharu sebagai 'penyambut' pelancong ke negeri serambi Mekah.

Menelan kos pembinaan lebih RM23 juta, masjid yang diinspirasikan Ahli Parlimen, Tengku Razaleigh Hamzah, ini dibina di atas tanah berkeluasan 1.5 hektar.

Bukan sahaja mampu menampung sehingga 5,000 jemaah, malah reka bentuk serta hiasan dengan sembilan menara itu mampu menarik perhatian masyarakat setempat serta pelancong luar.

Dijangka akan siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini, pembinaan masjid ini mampu membawa nama Kelantan khususnya Gua Musang sebagai salah satu lokasi pelancongan.

Ia juga dianggap sebagai penyambut ummah di pintu masuk Kelantan dari Pahang, samada melalui Kuala Lipis atau Cameron Highlands.

Dari segi rekaan, masjid ini memiliki hiasan seperti jubin dan warna yang menarik dan disertakan dengan binaan sktruktur kristal hitam empat segi di tengah-tengah ruang masjid.

Menariknya, di kotak hitam itu akan disertakan dengan aliran air mirip Kaabah dan sembilan menara ketinggian 30 meter menyerupai Masjidil Haram di Kota Suci Mekah.

Selain itu, masjid berkenaan turut dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti empat unit kuarters kakitangan, ruang kelas dan kursus, bilik komputer, perpustakaan dan dewan serbaguna.

Tengku Razaleigh berkata, pembinaan masjid ini sudah hampir siap dan dijangka akan siap sepenuhnya hujung tahun ini.

"Hasil tinjauan yang dibuat, 70 peratus sudah siap dimana hanya tinggal pemasangan bumbung, jubin dan hiasan sahaja lagi.

"Ia dibina bagi memberi kemudahan kepada masyarakat setempat kerana terpaksa berdepan dengan kepadatan penduduk sehingga perlu bersesak dalam masjid lama, Masjid Razaleigh.

"Dengan binaan yang unik, menarik dan cantik ini, kita bukan sahaja dapat memenuhi keperluan penduduk, menjalankan aktiviti kemasyarakatan malah dapat menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke kawasan kita," katanya lagi.

Tambah Tengku Razaleigh, ia juga bakal dijadikan tempat untuk memudahkan jemaah haji dan umrah berkursus sebelum berangkat ke Tanah Suci.

"Bersesuaian dengan kedudukan geografi Gua Musang sebagai pintu masuk Kelantan, kita berbangga memiliki binaan secantik ini," katanya lagi.

Seri di Bandar Lama

Sementara itu, mantan Adun Galas, Ab Aziz Yusoff berkata, usai pembinaan itu siap, ia sekaligus akan membawa wajah baharu Gua Musang yang sebelum ini dianggap jajahan rimba.

Katanya yang kini Adun Nenggiri, bukan sahaja bakal menjadi tumpuan dari segi keagamaan, malah pelancong juga akn turut tertarik untuk melihat lebih dekat binaan unik ini.

"Saya mengikuti perkembangan masjid ini dari awal hingga hampir siap. Ia sesuatu yang amat mengujakan dan dinanti-nantikan.

"Gua Musang akan berubah wajah dengan adanya masjid ini. Malah, ia akan merancakkan lagi ekonomi di jajahan ini.

"Sebelum ini, daerah ini hanya menjadi persinggahan untuk ke kawasan lain seperti tanah rata dan Kuala Lumpur. Tapi selepas ini, ia akan jadi salah satu tempat yang dikunjungi masyarakat," katanya lagi.

Tambah Ab Aziz, ia juga akan menaikkan semula 'seri' Bandar Lama yang terjejas teruk sebelum ini ekoran Bah Kuning empat tahun lalu.

"Pembangunan di Bandar Baru dan Bandar Utama mungkin menjadi salah satu faktor Bandar Lama mula terjejas. Ditambah pula dengan insiden Bah Kuning yang memusnahkan banyak kawasan di sana.

"Namun, selepas masjid ini siap sepenuhnya, kita akan menyaksikan Bandar Lama akan bangkit dengan kemeriahan kunjungan di daerah ini," katanya lagi.