KOTA BHARU - Peningkatan penduduk di mukim Panchor ditambah dengan bilangan pekerja di kawasan kilang berhampiran menyebabkan jemaah Masjid As-Siddiqin, Kemumin terpaksa menunaikan solat di ruangan terbuka yang tidak selesa.

Keadaan bertambah buruk ketika hujan kerana jemaah terkena tempias, manakala berpeluh pula semasa cuaca panas terik.

Penasihat Jawatankuasa Masjid, Mohd Sabri Abdullah berkata, sehubungan itu, pihaknya berusaha untuk menyelesaikan masalah ruangan untuk menampung jemaah dengan membina ruang bangunan masjid yang lebih besar bersebelahan masjid sedia ada.

“Pembinaan masjid ini dianggarkan bernilai RM2.5 juta dengan keluasan 10 kaki persegi yang dilengkapi ruangan pejabat, penyaman udara, kipas dan kelengkapan asas bagi keselesaan jemaah.

“Kami juga sudah mendapat kebenaran Maik (Majlis Agama Islam Kelantan) untuk menawarkan lot wakaf bernilai RM200 sekaki persegi kepada pembeli yang berhasrat untuk beramal jariah,” katanya ketika ditemui di masjid berkenaan.

Turut sama meninjau pembinaan masjid itu, Imam I, Mohd Adawi Mat Taib dan Imam II, Mohd Ariffin Daud serta Pengurus Cawangan Sinar Harian Kelantan, Surena Mohd Noor.

Mohd Sabri berkata, pembinaan bangunan tambahan itu sudah bermula sebulan lalu dan kerja-kerja berjalan sebanyak 20 peratus.

“Setakat ini, jumlah derma dan wakaf yang sudah diperoleh berjumlah RM500,000 dan masih lagi memerlukan RM1.5 juta bagi menyiapkan keseluruhan masjid yang dijangkakan siap sepenuhnya pada Ramadan akan datang.

“Sehubungan itu, ramai masih berpeluang untuk mengumpul saham akhirat dengan mewakafkan lot bangunan ini yang masih berbaki 7,500 kaki persegi selepas 2,500 sudah ada yang membeli dan mewakafkannya,” katanya.

Sumbangan juga boleh disalurkan melalui akaun Maybank 5531 3101 8312 atau Bank Islam 0301 8010 1704 21 atau terus berhubung dengan Mohd Adawi juga pengerusi masjid di talian 013-932 3885.