TUMPAT - Manis ‘leting’ melekat di bibir tetapi kuih buah tanjung ini bukan pemanis mulut biasa seperti kuih tradisional Kelantan yang lain.

Tidak banyak dijual pada hari biasa kerana ia sinonim sebagai hidangan untuk meraikan hari istimewa seperti majlis pertunangan atau perkahwinan.

Aisyah Ashari, 21, dari kampung Pasir Pekan antara peniaga yang menjual kuih itu hasil air tangannya sendiri.

Menurutnya, kuih tersebut memang sangat manis kerana ia disira dengan tiga kilogram gula untuk sebekas buah tanjung.

“Antara kuih yang cerewet untuk dihasilkan kerana menggunakan kuning telur dan tepung beras.

“Warnanya kuning keemasan dan dibentuk seperti buah tanjung. Rasanya lemak telur dan manis leting (sangat manis).

“Manakala yang berwarna oren pula menggunakan telur kuning dan putih, tapi prosesnya juga sama,” katanya.

Aisyah berkata, dia mewarisi kepandaian membuat kuih tradisional itu daripada ibunya, Zanita Mat Ali, 44.

Dia yang merupakan generasi ketiga mewarisi kepandaian itu bukan sahaja pakar membuat kuih buah tanjung, tetapi juga mahir membuat jala mas, tahi itik dan akok.

“Saya pandai buat kuih tradisional ini ketika usia 13 tahun lagi, sebab selalu tolong ibu buat. Ibu dah berniaga kuih ini sejak 30 tahun lalu,” katanya.

Menurutnya, selepas berumah tangga, dia mengusahakan kuih sendiri dengan menjualnya di sekitar daerah dan pada Ramadan berniaga di bazar Wakaf Bharu.

“Ada 12 jenis kuih dijual di bazar Ramadan namun tarikannya adalah kuih buah tanjung, jala mas dan tahi itik,” katanya dibantu suami, Syakil Adli, 23.

Menurutnya, walaupun sangat manis, kuih buah tanjung enak dan digemari ramai, malah antara yang laris dijual sepanjang Ramadan ini.