PASIR MAS - Seorang pemuda yang dikhuatiri terjatuh ke dalam Sungai Golok di Kampung Siput, Meranti di sini sejak dua hari lalu ditemui mati dipercayai lemas pagi tadi.

Mayat pemuda berusia 29 tahun itu ditemui terapung di Kampung Simpangan oleh penduduk kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Mas, Penguasa Bomba Mohd Nazri Ab Wahab berkata, mayat lelaki berkenaan ditemui kira-kira sembilan kilometer daripada tempat dia terjatuh.

“Mayat dibawa ke Hospital Tumpat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan selanjutnya.

“Mangsa telah dikhuatiri lemas pada Isnin lalu dan gerakan mencari serta menyelamat telah dilakukan sejurus kita menerima maklumat kejadian itu,” katanya.