KOTA BHARU-Jumlah keseluruhan mangsa banjir di Kelantan sehingga jam 11.00 pagi ini berkurangan kepada 13,637 orang berbanding 13,730 individu malam tadi.

Menurut portal eBanjir Negeri Kelantan, sebanyak 5,386 keluarga masih lagi ditempatkan di 59 pusat pemindahan di enam jajahan iaitu Gua Musang (2), Kota Bharu (3), Pasir Mas (36), Pasir Puteh (8), Tanah Merah (2) dan Tumpat (8).

Bagaimanapun, jumlah mangsa banjir di jajahan Tumpat menunjukkan pertambahan kepada 3,301orang berbanding 3,188 individu jam 8 malam tadi dan kini berada di lapan pusat pemindahan sementara.

Pasir Mas masih mencatatkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu, 9,236 orang namun menunjukkan trend menurun dengan 3,909 keluarga masih  berada di 36 lokasi pemindahan sementara.

Di Pasir Puteh juga mangsa berkurangan kepada 814 orang dengan 242 keluarga masih ditempatkan di lapan pusat pemindahan, manakala di Kota Bharu turun kepada 139 individu.

Gua Musang pula dua daripada tiga pusat pemindahan sahaja masih beroperasi dengan menempatkan 91 mangsa dari 22 keluarga yang tinggal di Limau Kasturi serta RKT Kesedar Jeram Tekoh.

Tanah Merah juga mangsa berkurangan kepada 56 orang sahaja berbanding malam tadi 102 individu yang masih berada di Madrasah Kampung Kulim dan Balai Raya Kampung Padang Kijang.

Sementara itu, paras Sungai Golok di Rantau Panjang masih melepasi paras bahaya iaitu 10.31 meter (m) sebagaimana sebelum ini.

Empat sungai lain masih melepasi paras berjaga-jaga ialah, Sungai Galas (34.69 m), Tangga Krai (21.85m), Jambatan Guillemard (13.18 m) dan Jenob (21.58 m).

Tiga Sungai lain iaitu Sungai Lebir di Tualang (26.89 m), Sungai Semerak Pasir Puteh (1.17m)  dan Tambatan Diraja (2.25m) masing-masing berada di paras normal.

Dalam pada itu daripada 20 laluan yang ditutup, tiga sudah boleh digunakan kepada pengguna.