BACHOK – Keluarga murid tahun enam dari Sekolah Kebangsaan (SK) Pantai Senak yang menjadi mangsa tular kononnya memakai pakaian dan kasut buruk pada hari pertama persekolahan, malu dengan penularan berita berkenan.

Mazawati Ismail, 42, berkata, dia hanya mengetahui mengenai gambar anaknya, Nadia Natasha Ibrahim, 12, ditularkan selepas didatangi seorang guru sekolah anaknya petang kelmarin.

Menurutnya, sebelum ini seorang lelaki menghubunginya dan memaklumkan ingin menghulurkan bantuan kepada keluarga mereka.

“Ada seorang lelaki datang beberapa hari lalu cakap nak beri bantuan, saya tak tahu dia akan sebarkan cerita kami.

"Memang kami agak susah, saya kerja cari daun nipah untuk dibuat daun rokok dan adakala cari tiram jika tak hujan. Tapi kami tak minta kisah keluarga disebar begini, kami malu," katanya.

Menurutnya, anaknya juga malu untuk ke sekolah setelah kisah keluarganya tular.

"Kami bukan tak ada duit, cuma belum berkesempatan ke kedai beli kasut. Saya dah ajak dia ke kedai tapi dia tak mahu.

Keadaan rumah keluarga Nadia Natasha yang dibina di atas rizab tanah perkuburan Kampung Sador.

"Jadi hari itu saya hanya beli untuk yang adiknya (Che Akma Arini, 8) saja. Untuk dia kena tunggu kakak dia bawa ke kedai dalam masa terdekat ini,” katanya ditemui di kediamannya di Kampung Sador, semalam.

Guru Besar SK Pantai Senak, Mohd Daud Salleh berkata, tiada isu mengenai murid berkenaan diabaikan kerana dia adalah penerima tetap pelbagai bantuan sama ada dari pihak sekolah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) .

“Murid ini tersenarai dalam penerima pelbagai bantuan termasuk Bantuan Awal Persekolahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM), Rangkaian Makanan Tambahan Sekolah (RMTS) dan zakat setiap kali musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Amanah Dun Tawang, Mohd Azman Mohd Noor berkata, pihaknya terkejut dengan kisah ditularkan itu dan hadir ke kediaman keluarga itu untuk lihat sendiri keadaan mereka.

“Kita lihat ramai datang ziarah keluarga adik Nadia Nastasya termasuk agensi kerajaan. Dengan tersebarnya berita ini kita harap sesiapa yang ingin bantu boleh berganding bahu hulur bantuan. Kerajaan perlu ambil perhatian mengenai keluarga ini agar dapat kehidupan lebih baik,” katanya.