JELI- "Makcik bimbang dia lapar," itu luah ibu seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU), Haskullisham Muhammad, 32, hilang dari rumahnya, Isnin lalu.

Che Minah Daud, 74, berkata, ini kerana dia percaya anaknya tidak mudah menerima pemberian sesiapa, terutamanya mereka yang tidak dikenali.

"Memang makcik selalu pesan agar dia tak mudah ambil hak orang dan tak makan apa yang diberikan.

"Boleh ambil kalau orang beri untuk menjaga hati, tapi jangan makan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Panglima Bayu di sini, hari ini.

Che Minah berkata, dia bimbang jika anaknya benar-benar berpegang pada pesanannya itu.

"Setiap hari kami bekalkan duit untuknya sekitar RM4 hingga RM10 untuk perbelanjaan ketika dia berada di luar, tapi dah dua hari tak balik, mungkin duit tu pun dah habis," katanya.

Che Minah berkata, dia mengesyaki anaknya tersesat dan tidak tahu jalan pulang memandangkan Haskullisham sering ingat-ingat lupa.

Sementara itu, bapa mangsa, Muhammad Daud, 76 berkata, anak ketujuh daripada lapan beradik itu meninggalkan rumah mereka kira-kira jam 4 petang.

"Selalunya sebelum malam, dia akan balik.Tapi kali ini,ibu dan abangnya, Rahimi terpaksa keluar mencari di sekitar kampung," katanya.

Muhammad berkata, ada penduduk memaklumkan melihat Haskullisham di sekitar bendang di Kampung Bendang Keladi pada petang dia dilaporkan keluar dari rumah.

"Mereka kata nampak Haskullisham bagaikan hilang arah kerana ketika itu juga angin bertiup kencang, mungkin dia kebingungan mencari arah untuk balik ke rumah," katanya.

Muhammad berkata, anaknya pernah menyuarakan hasrat ke Kuala Lumpur, namun dia tidak mengizinkan dan memintanya menangguhkan hasrat tersebut sehingga dia benar-benar sihat.

"Pakcik harap, kalau ada sesiapa terjumpa Haskullisham, tolong hubunginya di talian 013-913 4708 atau menghantarnya ke balai polis berhampiran," katanya.