KOTA BHARU - Tindakan beberapa pendatang asing yang keluar bersiar-siar di sekitar bandar Kota Bharu membawa padah apabila mereka ditahan Jabatan Imigresen Kelantan, hari ini.

Difahamkan mereka beranggapan bahawa penguatkuasa Imigresen masih bercuti sempena sambutan Hari Kebangsaan.

Dalam dua operasi yang dijalankan jam 12 tengah malam semalam dan 10 pagi tadi, seramai 38 warga asing ditahan termasuk sembilan kanak-kanak berusia 7 bulan hingga 16 tahun.

Warga asing dewasa lelaki dan wanita yang ditahan berusia lingkungan 19 hingga 55 tahun berasal dari Vietnam, Myanmar, Bangladesh dan Kemboja.

Ketua Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Kelantan, Ruzaana Mohamed berkata, ada juga di antara mereka ditahan di kediaman masing-masing sekitar Kampung Badang, Pantai Cahaya Bulan.

Menurutnya, semasa ditahan, ada yang menunjukkan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), namun selepas diperiksa ia palsu.

“Ada juga yang cuba melarikan diri tetapi kita berjaya mengejar dan menangkap mereka.

“Memang setiap hari anggota dan pegawai kita akan jalankan operasi. Kita akan perangi mereka habis-habisan sebagaimana diarahkan,” katanya kepada media di pejabatnya di Telipot, hari ini.

Beliau berkata, operasi yang melibatkan 30 anggota itu turut mendapati sebahagian daripada mereka bekerja di sektor pembinaan, ambil upah menjahit pakaian dan juga menjual perhiasan emas saduran.