• Maik telus sampaikan zakat Kamaruddin menyampaikan bantuan zakat kepada penduduk kurang berkemampuan, kelmarin.
1 /

PASIR MAS – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) tidak akan menyimpan walau satu sen yang diamanahkan oleh penduduk melalui kutipan zakat.

Timbalan Yang Dipertua, Datuk Kamaruddin Mohd Zin berkata, buktinya, sepanjang empat bulan ini sahaja, Maik menyampaikan zakat bernilai RM43 juta kepada golongan asnaf seluruh Kelantan.

Katanya, ia meliputi pengagihan kepada 17 bahagian kelolaan Maik seperti zakat bulanan, pendidikan, perubatan dan baik pulih rumah.

Menurutnya, agihan kepada sektor pendidikan kepada anak-anak golongan asnaf melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) adalah yang tertinggi, dengan agihan sebanyak RM11 juta.

“Setiap bulan, Maik menyampaikan bantuan bulanan kepada golongan asnaf berjumlah RM8 juta.

“Selebihnya, bantuan disampaikan kepada penduduk miskin dari segi perubatan, baik pulih rumah dan mangsa kebakaran,” katanya.

Beliau berkata, Maik amat komited dalam menyalurkan bantuan kepada golongan sasaran, sejajar dengan titah Yang Dipertua Maik, Tengku Mahkota Tengku Muhammad Fa-iz Sultan Ismail Petra.

Seperti mana tahun lepas Kamaruddin berkata, lebih RM101 juta diagihkan kepada penduduk di Kelantan.