KOTA BHARU – Sekumpulan penuntut Pengajian Jarak Jauh Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kota Bharu mengambil inisiatif menyampaikan sumbangan dalam bentuk barangan kepada Masjid As-Salam, Pengkalan Chepa.  

Penyelaras programnya, Dr Iskandar Hasan Tan Abdullah berkata, sumbangan daripada badan bukan kerajaan dan orang perseorangan bernilai RM3,800 itu bagi mengisi tabung golongan asnaf yang diwujudkan masjid berkenaan.

Menurutnya, antara barangan yang disalurkan beras, gula untuk keperluan asnaf selain pakaian solat yang diwakafkan untuk kegunaan di masjid termasuk telekung, kain pelikat, sejadah.

“Program khidmat masyarakat ini juga melaksanakan aktiviti gotong-royong perdana membersihkan beberapa tempat di masjid ini.

“Seramai 32 orang termasuk mahasiswa dan mahasiswi, peserta NGO, ahli jawatankuasa dan pelajar tahfiz As-Salam terlibat.  

“Sesuai tema ‘Taburkan Jasa dan Semaikan Budi’ tujuan program ini diadakan adalah untuk melahirkan mahasiswa dan mahasiswi penyayang serta prihatin dalam memberi sumbangan dan bantuan kepada komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian pada Program Pembangunan Masyarakat Siri Keempat anjuran Mahasiswa Pace UUM Kampus Kota Bharu di masjid tersebut, hari ini.

Program melibatkan penuntut semester empat Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Awam itu diadakan dengan kerjasama Yayasan Salam Malaysia cawangan Kelantan dan Malaysia Relief Agency.

Sementara itu Pengerusi Biro Keceriaan, Kebersihan dan Penyelenggaraan masjid berkenaan, Abu Bakar Ibrahim menyambut baik usaha penuntut berkenaan kerana dapat melatih mereka dekati masyarakat terutama dalam aspek menjaga kebersihan.

“Ini akan memberi pendedahan kepada mereka dalam kerja-kerja sosial masyarakat. Kedua, saya fikir ia membolehkan mereka bekerja satu kumpulan kerana bukan senang nak jalankan satu-satu aktiviti seperti ini.

Tambahnya, pihak masjid sentiasa mengalu-alukan sumbangan daripada mana-mana NGO atau individu bagi tujuan mengimarahkan masjid sama ada dalam bentuk tenaga atau barangan.

“Di masjid ini ada satu sudut untuk golongan asnaf, jadi boleh beri apa sahaja termasuk barangan keperluan dan kita sangat hargai setiap sumbangan daripada pihak luar,” katanya.