• Lumpuhkan sarang dadah,165 individu dicekup, Kesemua 165 individu ditahan untuk tujuan dokumentasi di Balai Polis Repek, semalam.
1 /

PASIR MAS – Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan dan Balai Polis Daerah Pasir Mas selama dua hari berturut-turut di lima lokasi berasingan  berjaya membuat 165 tangkapan melibatkan 176 kes bermula kelmarin.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner (ACP) Haliludin Rahim berkata, pada operasi yang diadakan pada jam 12 malam 29 Ogos lepas sehingga jam 3 petang semalam, polis membuat pemeriksaan ke atas 204 sasaran dadah dan jenayah.

Menurutnya, daripada jumlah itu, satu kes membabitkan dua tangkapan  di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya (ADB), Seksyen 12(2) ADB 1952 sebanyak 10 kes dengan 11 tangkapan, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 sebanyak 164 kes dengan 150 tangkapan dan Seksyen 379A Kanun Keseksaan 1 kes dengan satu tangkapan.

“Operasi ini diketuai Superintendan Amran Ramli dalam usaha untuk mengekang masalah penyalahgunaan  serta pengedaran dadah dan jenayah di kawasan Bunut Susu, Tendong, Slow Machang , Meranti dan Repek.

“Usaha sebegini dilakukan agar masyarakat merasa selamat berada di daerah ini seterusnya gejala dadah dapat dikurangkan,” katanya kepada pemberita, semalam.

Haliludin berkata, pengurangan kes dadah di daerah ini penting ke arah memberikan keyakinan keselamatan anak-anak di sini sentiasa terjamin.

Menurutnya, beliau memfokuskan untuk mengurangkan kadar jenayah di kawasan operasi dan memerlukan kerjasama orang ramai menyalurkan maklumat aktiviti penagihan serta pengedaran dadah.

“Maklumat dari orang awam amat diperlukan supaya kegiatan dadah di Pasir Mas dapat dikurangkan.

“Bagi memastikan aktiviti ini dapat dikekang, operasi serupa akan diadakan pada masa akan datang di kawasan berlainan,” katanya.

Katanya lagi, tahanan reman akan dibuat dokumentasi dan siasatan lanjut berkaitan aktiviti dadah dan jenayah dengan pihak Mahkamah Majistret Pasir Mas.