KUALA KRAI - Tiada siapa sangka kemalangan yang hanya menyebabkan luka kecil pada lutut dua tahun lalu bakal memberikan kesan besar dalam hidup seorang gadis di sini.

Nor Fatihah Mohd Asri, 23, dari Telekong, terlibat kemalangan ketika keluar seketika dari tempat kerja di Kampung Gatal untuk membeli ubat dikirim ibunya, Roshana Kadir, 39, di sebuah farmasi di Kuala Krai.

Nor Fatihah berkata, ketika kejadian, dia melanggar sebuah kereta dan menyebabkan lutut kirinya cedera.

Tambahnya, lutut kirinya mula membengkak selepas tiga hari kemalangan.

“Doktor beritahu lutut kiri perlu dibedah dengan kos RM6,000, tapi kami tak mampu. Ayah saya (Mohd Asri Hamat, 45) yang kerja bawak lori banyak keluarkan duit untuk biayai rawatan saya sebelum itu.

“Selepas tiga hari, lutut bengkak, saya ke hospital tapi doktor minta ke Klinik Kesihatan Bandar Kuala Krai untuk buat X-ray, seterusnya saya diberitahu pelapik lutut pecah dan dirujuk ke doktor pakar,” katanya.

Katanya, pada 24 November tahun lalu dia menjalani satu pembedahan membuang pelapik lututnya.

“Setiap tiga bulan bahagian lutut saya perlu dimasukkan ubat berbentuk cecair, yang perlukan bayaran RM800.

“Kos perubatan ayah yang tanggung, tapi disebabkan banyak kali masuk ubat, ayah tak mampu dah sebab simpanannya makin susut, emak (Roshana Kadir) pula suri rumah,” katanya.

Nor Fatihah berkata, ayahnya masih mempunyai tanggungjawab menyara enam adiknya yang masih bersekolah.

Menurutnya, masalah kesihatan dihadapi selepas kemalangan itu menyebabkan dia kerap cuti.

“Bila lutut sakit, saya hanya mampu baring. Lepas pulih baru saya kembali semula menyambung tugas seperti biasa,” katanya.

Katanya, bagi meringankan beban ditanggung bapanya dia telah memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Saya harap permohonan akan diluluskan seterusnya meringankan beban ayah,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JOHOR BAHRU - Seorang mualaf memerlukan bantuan kos rawatan berjumlah RM100,000 selepas terbabit kemalangan di persimpangan bertingkat Lebuhraya Pesisir Pantai (Coastal Highway) berhampiran Horizon Hill, di sini, 18 Disember lalu.
  • PENDANG - Seorang warga emas menjadikan bahagian luar rumah adiknya sebagai tempat berteduh selepas dia tidak lagi mampu berjalan akibat masalah saraf dihidapi.
  • SUNGAI SIPUT (U) - Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Mungkin itu perumpamaan tepat menggambarkan kehidupan Bahari Kechik, 64, dan keluarganya di Kampung Sungai Bendang, di sini.
  • KUALA LUMPUR - Seorang penjual ais, Abdul Latiff Dawi, 56, yang kini kritikal akibat masalah jantung memerlukan sumbangan orang ramai bagi menampung kos rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) yang kini mencecah lebih RM11,000.
  • KUALA LUMPUR - Kehidupan sepasang suami isteri bersama tiga anaknya kini bagaikan tergantung apabila putus mata pencarian dan terpaksa bersedia untuk keluar dari rumah sewa yang gagal dibayar sejak sembilan bulan lalu.