BACHOK - Sejak dua bulan lalu penduduk sekitar Kampung Pak Simpul berdekatan Kampung Pak Badol dibelenggu masalah takungan air sisa buangan dari rumah mereka apabila mendakwa saluran longkang ditutup.

Seorang penduduk, Zainudin Abdul Rahman, 50, berkata, akibatnya setiap kali hujan, air longkang rumah mereka akan melimpah dan memenuhi pekarangan tujuh rumah di situ.

Menurutnya, kawasan itu dahulu mempunyai parit, namun sudah tertimbus dan keadaan itu menimbulkan kesulitan kepada penduduk di situ.

“Sekarang di sini tak ada parit besar. Dulu memang ada di tepi jalan sana, tapi dah tertimbus. Aliran longkang kami pula ditutup tengah jalan kerana melalui tanah orang.

“Banyak masalah timbul sejak saliran longkang kami tak ada. Depan rumah bertakung air sisa buangan yang melimpah dari longkang. Anak-anak pun tak boleh nak bermain depan rumah. Nyamuk pun banyak, jadi kami terpaksa letak ubat jentik-jentik dalam longkang dua kali seminggu,” katanya kepada Sinar Harian.

Zainudin berkata, penduduk sudah membawa masalah itu kepada pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), namun diberitahu ia di luar bidang kuasa mereka, manakala permohonan kepada Majlis Daerah Bachok (MDB) dibuat dua minggu lalu.

Air longkang yang tidak dapat mengalir.

Seorang lagi penduduk, Mat Ladin Mat Yaacob, 54, berkata, mereka pernah membina lubang takungan, namun ia tidak dapat menampung air buangan tujuh rumah berkenaan.

“Rumah saya sendiri hampir seinci sahaja air longkang nak masuk rumah. Bila jadi macam ni suasana pun terjejas dengan bau busuk dan risiko penyakit bila kawasan rumah kotor dan banyak nyamuk.

“Rumah yang guna air perigi pun tak boleh digunakan lagi bila air longkang menyerap masuk ke dalam tanah dan menyebabkan air perigi berbau busuk,” katanya.

Bagi Rohani Ismail, 60, dia berharap masalah itu mendapat perhatian pihak berkaitan memandangkan dia akan mengadakan kenduri pada Ogos nanti.

“Tak tahu macam mana nak buat kenduri kalau depan rumah dipenuhi air. Itu tak termasuk dengan ulat yang memenuhi longkang kami. Memang loya tekak kalau tengok,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha MDB, Khairul Azwan Khalid ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyemak perkara berkenaan.