TANAH MERAH - Pihak berwajib diminta menyelesaikan masalah tanah mendap berhampiran sebuah restoran di Jalan Hulu Pasar dalam bandar ini kerana boleh mengundang bahaya kepada orang ramai.

Seorang pengunjung restoran itu yang mahu dikenali sebagai Sukri berkata, masalah mendapan tersebut menyebabkan saluran longkang di sepanjang kaki lima restoran berkenaan rosak dan pecah.

Dakwanya, masalah itu mula berlaku ketika Ramadan lalu dan aduan sudah dikemukakan kepada pihak berkuasa berkenaan dua minggu sebelum Aidilfitri, namun sehingga kini belum ada sebarang tindakan diambil.

“Keadaan penutup longkang yang pecah dan berlubang ini boleh membahayakan, lebih-lebih kedudukan restoran ini bersebelahan dengan Pasar Besar Tanah Merah yang jadi tumpuan orang ramai,” katanya, semalam.

Sukri mendakwa, aliran air pada bahagian longkang yang pecah menyebabkan masalah mendapan semakin teruk dan dibimbangi boleh menjejaskan struktur bangunan jika dibiarkan berterusan.

“Kesan retak pada bahagian longkang sepanjang kaki lima ini semakin hari semakin banyak disebabkan mendapan dan hakisan kerana air bawah tanah berterusan mengalir.

“Kalau dibiarkan lebih lama, masalah mendapan mungkin makin teruk dan kos untuk baiki pada waktu itu sudah pasti lebih tinggi terutama jika babitkan struktur bangunan,” dakwanya.

Justeru, Sukri meminta pihak berkenaan supaya segera mengatasi masalah mendapan dan kaki lima yang rosak itu bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.