KOTA BHARU - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) menyasarkan nilai jualan fiber tanaman tersebut mencapai RM3 juta pada akhir tahun ini.

Ketua Pengarahnya, Samsudin Noor berkata, capaian itu mampu diperoleh dengan inisiatif LKTN membina dua Pusat Pemprosesan Kenaf Insitu (PPKI) di Kelantan dan Pahang yang bakal beroperasi awal September ini.

Menurutnya, RM2.5 juta dilaburkan iaitu RM1.5 juta untuk pembinaan PPKI di Tok Bali Pasir Puteh Kelantan dan PPKI di Tebu Hitam Rompin Pahang pula bernilai RM1 juta.

"Dengan pembinaan dua PPKI di Kelantan dan Pahang ini ia akan mampu menghasilkan nilai pengeluaran fiber kenaf sebanyak RM300,000 sebulan.

“Pusat di Tok Bali Pasir Puteh di jangka mampu menghasilkan kapasiti pemprosesan sehingga 10 tan batang kenaf membabitkan pengeluaran 3 tan fiber kenaf sehari berbanding dulu tidak sampai satu sehari," katanya kepada media, hari ini.

Terdahulu beliau menandatangani Memorandum Perjanjian dengan  Agro Greentech Sdn Bhd sebagai operator PPKI Pasir Puteh yang diwakili Pengarah Urusan syarikat tersebut Dr Rahmatullah Hussain.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan dan Operasi) LKTN, Wan Baharudin Wan Ismail dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKTN, Idris Mohd Salleh.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PASIR PUTEH - Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) percaya kawasan penanaman kenaf di seluruh negara mencapai 3,000 hektar tahun ini, bagi memenuhi permintaan terhadap bahan mentah dan produk berasaskan komoditi tersebut yang semakin tinggi.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.