GUA MUSANG - Seramai 17 anggota Bomba, APM dan polis bergilir-gilir mengusung seorang wanita dari Gunung Yong Yap, Lojing, yang mengalami serangan jantung ketika mendaki, semalam.

Mangsa, Rahimah Saadun, 31, beralamat di Pantai Dalam, Kuala Lumpur, ditemui dalam keadaan tidak bermaya dan keletihan di puncak gunung berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Superitendan Mohd Taufik Maidin berkata, usaha membawa turun mangsa memakan masa selama lima jam untuk tiba di kaki gunung.

"Lebih kurang jam 9.30 malam tadi, kita menerima panggilan dari balai bomba mengatakan seorang pendaki mengalami serangan jantung semasa mendaki.

"Usaha membawa turun mangsa bermula pada jam 4 pagi dan tiba di kaki gunung pada jam 9 pagi ini. Kerja-kerja menyelamat sukar kerana keadaan laluan yang curam dan boleh membahayakan nyawa," katanya.

Menurutnya, keadaan mangsa ketika ini masih stabil dan ditempatkan seketika di Klinik Kesihatan Lojing dan akan dibawa ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.

Susulan dari kes ini, Mohd Taufik menasihati pendaki agar memaklumkan terlebih dahulu kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang sekiranya ada aktiviti mendaki di kawasan ini.

“Banyak kes yang berlaku di puncak gunung di mana ia dilakukan tanpa sebarang makluman. Kita berharap agar selepas ini, pendaki dapat memaklumkan terlebih dahulu demi keselamatan," katanya lagi.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • CAMERON HIGHLANDS - Sepasukan anggota bomba yang terlibat dalam operasi menyelamat seorang pendaki yang cedera selepas terjatuh ketika menuruni Gunung Irau, Cameron Highlands terpaksa menahan kesejukan hampir 11 jam selain berdepan pelbagai kesukaran sebelum berjaya membawa mangsa turun ke kaki gunung, awal pagi tadi.
  • KUALA LUMPUR - Pendaki solo negara Khairil Aslan Ab Rasid berhasrat meneruskan perjuangannya menakluk gunung keenam tertinggi dunia, Gunung Cho Oyu di Tibet, pada Oktober depan.
  • KOTA KINABALU - Seorang pelancong wanita warga Kanada terpaksa diusung turun dari Gunung Kinabalu kerana tidak dapat berjalan selepas kakinya terseliuh ketika di puncak tertinggi Asia Tenggara itu.
  • KOTA TINGGI - Empat sahabat yang sesat di hutan dekat Gunung Panti di sini terpaksa minum air sungai sepanjang berada di hutan tersebut untuk mengalas perut.