KUALA KRAI - Seorang lelaki nyaris maut dilibas gajah ketika ke kebunnya di Belia, Laloh untuk mengutip durian, hari ini.

Mangsa, Nordin Bebakar, 40-an, dikejarkan anak saudaranya Norshahrin Che Ibrahim, 38, ke Hospital Kuala Krai selepas mengalami sesak nafas.

Menceritakan detik cemas petang tadi, Norshahrin berkata, dia tidak menyedari kehadiran gajah di kebunnya.

"Ketika itu saya dan bapa saudara sedang berjalan ke arah bukit, secara tiba-tiba gajah muncul di tengah- tengah antara kami dan terus mengejar saya.

"Tetapi kemudiannya gajah meluru ke arah bapa saudara setelah melihatnya membawa guni berisi durian," katanya.

Katanya lagi, dia yang panik berlari menyelamatkan diri dengan memanjat pokok walaupun sedar bapa saudaranya dalam bahaya.

"Setelah berjaya panjat pokok, saya lihat gajah libas bapa saudara. Bimbang nyawa dia dalam bahaya saya sergah beberapa kali untuk alih perhatian.

"Namun tindakan saya hanya mengundang kemarahan gajah yang datang mengelilingi pokok yang saya panjat," katanya.

Menurutnya, menyedari nyawanya dalam bahaya, dia terus melaungkan azan.

"Masa tu saya hanya ingat mati. Tiga kali saya laungkan azan baru gajah tu perlahan-lahan pergi.

"Saya segera dapatkan bapa saudara yang mengadu sukar bernafas dan terus bawanya pulang," katanya.

Sementara itu, Ketua Perhilitan Daerah Kuala Krai, Mohd Bassir Abdullah ketika dihubungi memaklumkan pihaknya akan menyiasat kejadian itu.