• Wan Rohaila memangku anaknya ketika mendapatkan rawatan di HRPZ II. Wan Rohaila memangku anaknya ketika mendapatkan rawatan di HRPZ II.
  • Keadaan belakang badan kanak-kanak itu yang melecur. Keadaan belakang badan kanak-kanak itu yang melecur.
1 /

KOTA BHARU - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 18 bulan, melecur di belakang badan dan kaki kiri selepas sebuah periuk mengandungi air panas yang diletakkan di kawasan dapur terbalik, dalam kejadian di Kampung Tendong, Pasir Mas, semalam.

Kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu hanya disedari ibunya, Wan Rohaila Hassan, 39, ketika sedang bersiap-siap di rumahnya, menyediakan hidangan untuk jualan di gerai berhampiran Klinik Kesihatan Tendong.

Wan Rohaila berkata, pada kebiasaannya anaknya, Nur Aleeya Maisara Mohd Izba tidak pernah ke bahagian dapur, sepanjang lima tahun dia melakukan kerja-kerja memasak untuk jualan.

“Tidak saya sangka dengan sekelip mata, dia (Nur Aleeya) datang ke bahagian dapur dan mencapai periuk yang diletakkan di atas sebuah bangku berhampiran dapur gas.

“Saya langsung tak nampak kelibatnya, sehinggalah saya terdengar tangisannya sambil terguling di atas lantai dapur meraung kesakitan,” katanya.

Menurutnya melihatkan keadaan itu, dia terus merangkul tubuh anaknya sambil membawa kanak-kanak itu ke bilik air dan menyiram tubuh kecil itu, dengan air paip bagi mengurangkan kepanasan.

"Hanya tuhan yang tahu perasaan saya ketika itu namun saya tabahkan hati dan terus dapatkan suami yang ketika itu makan di gerai berdekatan rumah untuk bawa anak ke klinik berhampiran.

“Mujurlah keadaan lecurnya tidak teruk dan menurut doktor dia hanya mengalami lecur di bahagian luar kulit luar dan dirujuk ke HRPZ II untuk rawatan susulan.” katanya.

Wan Rohaila berkata, dia masih trauma dengan kejadian terbabit, namun tetap bersyukur anaknya kini dalam keadaan stabil dan mengharapkan dia akan pulih seperti sedia kala.