KOTA BHARU - Lebih 40 pelanggan yang sedang menjamu selera lari menyelamatkan diri apabila sebuah rumah yang terletak bersebelahan restoran itu terbakar secara tiba-tiba di Ketereh, malam tadi.

Dalam kejadian jam 9.45 malam tadi, kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur sebuah rumah sebelum merebak ke Restoran Bro Din dan sebuah lagi rumah. 

Saksi kejadian, Razlan Che Rahim, 29, berkata dia sedang mencuci pinggan mangkuk sebelum terdengar beberapa dentuman kuat seperti bunyi mercun.

"Saya meninjau di bahagian belakang kedai sebelum melihat api sudah marak sehingga ke bumbung di rumah sebelah restoran.

"Pelanggan ada yang tidak sempat makan terus lari menyelamatkan diri dan pekerja bergegas menyelamatkan barang-barang restoran," katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.

Razlan yang juga pekerja restoran berkata, beberapa pelanggan dan pekerja turut cuba memadamkan api namun gagal kerana api terlalu marak.

Difahamkan ketika kejadian, pemilik rumah berniaga di Pasar Malam Melor sementara penyewa sebuah lagi rumah tiada di rumah kerana pulang ke kampung halaman.

Seentara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ketereh, Mohd Rafain Mat Zin ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian jam 9.56 malam. 

Beliau berkata, tiga jentera dan 17 anggota bomba termasuk daripada Balai Bomba Kota Bharu dan Balai Bomba Tunjung serta bomba sukarela terbabit dalam operasi memadam kebakaran.

"Bomba mengambil masa tiga jam untuk memadam kebakaran yang dah merebak ke sebuah lagi rumah dari rumah mula-mula terbakar dan restoran, api padam sepenuhnya jam 1.20 pagi," katanya.

Punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.