PASIR PUTEH - Majikan dalam pelbagai sektor industri di negeri ini mesti melaporkan segera kes kemalangan atau kematian pekerja ketika bertugas kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP) bagi mengelak didenda akibat menyembunyikan fakta kes.

Pengarah JKKP Negeri Kelantan, Mohamad Nizam Ali berkata, majikan bertanggungjawab melaporkan segera kes kemalangan membabitkan kecederaan kronik dan kematian pekerja sama ada di lokasi pembinaan, ladang dan lain-lain tempat untuk siasatan dan tindakan selanjutnya.

Katanya, Seksyen 16 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514), menekankan beberapa perkara penting berkaitan Dasar Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan yang wajib dilaksanakan majikan.

“Majikan mesti beri penerangan jelas mengenai aspek keselamatan dan kesihatan, mencegah kemalangan, penyakit pekerjaan, keracunan pekerjaan dan kejadian berbahaya.

“Terdapat kes majikan bertindak menyembunyikan kes kematian namun JKKP berjaya mengesannya menggunakan sumber aduan polis dan laporan perubatan dari hospital,” katanya.

Tegasnya, kegagalan menyediakan dan mempraktikkan dasar keselamatan boleh menyebabkan majikan disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 195 Akta 514 dan jika sabit kesalahan, majikan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

"JKKP hanya menerima 135 kes kemalangan ketika bekerja membabitkan sembilan kematian sepanjang tahun lepas. Daripada jumlah itu, sebanyak 13 kes diselesaikan di mahkamah dan lima kes dikenakan denda keseluruhannya berjumlah RM45,300.

"Dari Januari hingga awal Jun tahun ini, kami terima 50 laporan kes kemalangan kerja dengan lima kematian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran 'A Frame' Upstream Downstream Process & Services Sdn Bhd (UDPS) di Tok Bali, dekat sini, kelmarin.

Hadir sama, Pengarah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) Kelantan, Azran Deraman dan Pengarah Urusan UDPS, Ahmad Komarolaili Abu.

Tambahnya, JKKP percaya terdapat majikan menyebunyikan kes kemalangan di tempat kerja walaupun tindakan itu melanggar Peraturan 5 di bawah Peraturan-Peraturan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pemberitahuan mengenai Kemalangan, Kejadian Berbahaya, Keracunan Pekerjaan dan Penyakit Pekerjaan) 2004..

Tegasnya, penguatkuasaan ditingkatkan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan orang sedang bekerja termasuk pekerja asing berdaftar terjamin selain melindungi pekerja daripada bahaya berpunca daripada aktiviti pekerjaan.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.